PAC mula siasat kehilangan tuntutan tunggakan GST


Bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah dan Johari Abdul Ghani akan dipanggil untuk beri penjelasan mengenai tuntutan tunggakan GST berjumlah RM19.4 bilion yang didakwa "hilang" pada 25 September ini. – Gambar EPA, 14 September, 2018.

JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) sudah memulakan siasatan terhadap tuntutan tunggakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion yang didakwa “hilang”, kata Pengerusinya, Ronald Kiandee.

Menerusi satu kenyataan hari ini, PAC berkata ia akan memanggil dua bekas menteri kewangan kedua - Ahmad Husni Hanadzlah dan Johari Abdul Ghani - bagi mendapatkan penjelasan mengenai hal tersebut pada mesyuarat seterusnya pada 25 September ini.

Jawatankuasa itu telah memulakan siasatan pada Rabu dan sesi kedua diadakan semalam.

Antara yang telah dipanggil ialah Ketua Pengarah Jabatan Kastam T. Subromaniam Tholasy, bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Siti Zauyah Md Desa.

“PAC Parlimen juga akan memanggil beberapa saksi lain bagi memberikan penjelasan berhubung isu ini, dalam memastikan siasatan yang dijalankan benar-benar menyeluruh,” kata Ronald yang juga ahli Parlimen Beluran.

Tiada tarikh akhir ditetapkan bagi melengkapkan siasatan terhadap kehilangan dana yang didedahkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng bulan lepas, menurut kenyataan tersebut.

PAC juga menegaskan selain daripada mempunyai 13 ahli jawatankuasa yang dilantik dari kalangan ahli Parlimen kerajaan Pakatan Harapan dan pembangkang, ia turut dianggotai oleh  wakil-wakil tetap kementerian dan jabatan seperti Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Akauntan Negara dan Unit Perancang Ekonomi. – 14 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen