Saya bimbang dengan perancangan 'Langkah PD', kata Ambiga


Gan Pei Ling

Bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan melahirkan kebimbangan dengan tindakan tergesa-gesa PKR terhadap 'Langkah Port Dickson' semasa ditemui media di Petaling Jaya, Selangor, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 September, 2018.

BEKAS pengerusi Bersih dan ahli Jawatankuasa Pembaharuan Institusi, Ambiga Sreenevasan, bersuara terhadap langkah bakal presiden PKR Anwar Ibrahim untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) di Port Dickson.

“Saya terganggu dengan perancangan mengenai PRK ini. Saya tidak faham dengan keadaan tergesa-gesa ini.

“Beliau hanya baru beberapa bulan berkhidmat kepada orang-orang yang datang dan mengundi untuknya, jadi saya berasa kasihan kepada rakyat dan kepada beliau sendiri,” kata Ambiga kepada wartawan semasa terbitan laporan mengenai kematian dalam tahanan di Petaling Jaya pagi ini.

PKR hari ini mengumumkan bekas ahli Parlimen Port Dickson dan veteran angkatan laut Danyal Balagopal Abdullah sudah meletakkan jawatannya bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen.

Langkah itu menerima kritikan orang ramai dan menyebabkan ketidakpuasan hati pihak dalam parti kerana pemimpin kanan PKR turut mempersoalkan perkara itu.

Ambiga berkata beliau faham Anwar akan menggantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai sebahagian daripada perjanjian pilihan raya PH, tetapi kesal dengan cara ia dilakukan untuk merealisasikannya.

“Sudah tentu, mereka akan mengatakan beliau (Danyal) tidak dipaksa tetapi melihatnya secara berbeza ... Beliau sudah dihukum kerana tidak boleh bertanding lima tahun lagi, jika saya tidak salah. Beliau sudah menghukum dirinya,” kata Ambiga.

Ramai berpendapat Anwar Ibrahim sepatutnya mengambil kerusi Parlimen dipegang isteri, Dr wan Azizah Wan Ismail atau anak perempuannya bagi laluannya kembali ke Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2018.

Beliau berkata pemantau pilihan raya Bersih 2.0 sentiasa mengambil pandangan ahli politik mesti menghormati kehendak rakyat.

“Ia hanya beberapa bulan sahaja. Masanya… sukar untuk diterima. Ia tidak mengapa jika salah seorang anggota keluarga meletak jawatan. Pemahaman saya ia akan dilakukan seperti itu,” kata Ambiga.

Isteri dan anak perempuan Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar, masing-masing adalah ahli Parlimen Pandan dan ahli Parlimen Permatang Pauh. Wan Azizah juga adalah timbalan perdana menteri.

Nurul Izzah sebelum ini berkata beliau tidak akan memberi laluan kepada Anwar kerana sudah merancang program kawasannya di Permatang Pauh. – 14 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen