POLIS menahan bekas pegawai kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman yang ‘tertangkap’ merakam bawah skirt seorang wanita.
Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Mazlan Lazim berkata suspek ditahan di sebuah restoran di sini pukul 1 petang hari ini.
“Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Kuala Lumpur untuk membantu siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Polis menyiasat lelaki itu di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan tanda isyarat atau secara lisan yang mengaibkan kehormatan orang lain.
Jika didapati bersalah, bekas pegawai itu boleh dipenjarakan sehingga lima tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.
Lelaki berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana berkelakuan tidak senonoh yang membawa hukuman denda RM100.
Semalam, Azis memecat pegawai tersebut susulan insiden memalukan itu.
Pada Sabtu, lelaki berkenaan ‘tertangkap’ menggunakan telefon bimbit merakam bawah skirt seorang staf wanita di sebuah kedai cermin mata di sebuah kompleks beli belah di sini.
Aksinya itu turut dirakamkan menerusi kamera litar tersembunyi (CCTV) di kedai tersebut.
Menerusi video klip pendek yang tersebar di media sosial, lelaki berkenaan duduk bersebelahan mangsa yang sedang sibuk melakukan ujian mata ke atas Azis.
Komen