Azis Jamman pecat pegawai 'kantoi' rakam bawah skirt wanita


Alfian Z.M. Tahir

AZIS Jamman memecat pegawainya yang “tertangkap” berbuat cabul terhadap seorang wanita, yang rakaman video tular di media sosial hari ini.

Kata Azis, tindakan pegawainya itu menjejaskan imej dan kredibiliti beliau sebagai timbalan menteri dalam negeri dan pejabat timbalan menteri.

Klip video yang tular itu menunjukkan seorang lelaki yang sedang bersama Azis, ketika timbalan itu menjalani pemeriksaan mata, merakamkan bawah skirt kakitangan kedai cermin mata itu.

“Saya mengambil maklum berhubung salinan laporan polis dan rakaman video CCTV yang tular dalam media sosial melibatkan tindakan dan perilaku seorang individu yang bersama saya semasa pemeriksaan mata dijalankan.

“Saya memandang serius tindakan individu tersebut yang membuat rakaman sedemikian secara sembunyi dan senyap-senyap tanpa saya sedari ketika pemeriksaan mata tersebut dijalankan.

“Tindakan dan perbuatan sedemikian adalah terkutuk dan keji. Saya juga mengambil keputusan untuk bertindak tegas terhadap pegawai tersebut yang membuat rakaman itu,” kata Azis dalam satu kenyataan media.

Beliau juga memohon maaf atas tindakan pegawai tersebut dan menjelaskan ia tiada kena mengena dengan pegawai-pegawai lain di pejabatnya.

Azis yang juga ketua Pemuda Warisan Sabah menjelaskan pegawai itu dipecat serta merta.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman dalam kenyataan media malam ini mengesahkan pegawai terbabit dalam skandal rakam bawah skirt wanita sudah dipecat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2018.

Sementara itu, pegawai berkenaan yang dihubungi The Malaysian Insight menafikan tuduhan beliau berbuat cabul terhadap wanita dalam rakaman video CCTV kedai cermin mata itu.

“Saya tidak rekod macam yang semua orang nampak.

“Di tangan saya ada dua handphone, satu bos (Azis) punya. Nampak macam saya rekod video sebab tangan saya dekat bawah. Tapi saya tidak rekod,” katanya.

Pegawai itu juga mendakwa sudah menjelaskan kepada wanita berkenaan bahawa beliau tidak merakamkan apa-apa menggunakan telefon genggamnya, tetapi wanita itu tetap membuat laporan polis semalam.

“Saya rasa pemilik kedai ada niat tidak baik. Dalam laporan polis pun sengaja letak nama bos saya macam cuba menyerang bos saya. Mungkin ada kaitan dengan politik untuk jatuhkan imej Azis. Saya tidak buat video ini,” katanya.

The Malaysian Insight difahamkan staf wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an itu membuat laporan di Balai Polis Daerah Sentul semalam.

Dalam laporannya, wanita yang berasal dari Negeri Sembilan itu mendakwa suspek datang ke kedainya bersama Azis kira-kira pukul 11 pagi hari yang sama.

Wanita itu kemudiannya membawa Azis dan pembantunya ke bilik rawatan untuk pemeriksaan mata.

Ketika pemeriksaan sedang dijalankan, suspek mengeluarkan telefonnya dan mula merakam dari belakang mangsa.

Wanita itu berkata, beliau berasa kurang selesa dengan perbuatan suspek dan rakaman CCTV jelas menunjukkan lelaki berkenaan merakam dari bahagian bawah skirtnya.

Ketua polis daerah Sentul, ACP R Munusamy mengesahkan pihaknya menerima laporan itu tetapi enggan mendedahkan maklumat lanjut. – 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen