Pegawai timbalan menteri 'kantoi' rakam bawah skirt wanita


Alfian Z.M. Tahir

Pegawai kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman dipercayai merakam video bawah skirt seorang staf wanita kedai cermin mata di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight, 9 September, 2018.

SATU laporan polis dibuat terhadap seorang pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman yang didakwa merakam video bawah skirt seorang staf wanita kedai cermin mata.

Insiden itu dirakamkan menerusi kamera litar tersembunyi (CCTV) di sebuah kedai cermin mata di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur dan tertera tarikh 8 September 2018 pada rakaman itu.

The Malaysian Insight difahamkan staf wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an itu membuat laporan di balai polis daerah Sentul semalam.

Dalam laporannya, wanita yang berasal dari Negeri Sembilan itu mendakwa suspek datang ke kedainya bersama Azis kira-kira pukul 11 pagi hari yang sama.

Wanita itu kemudiannya membawa Azis dan pembantunya ke bilik rawatan untuk pemeriksaan mata.

Ketika pemeriksaan sedang dijalankan, suspek mengeluarkan telefonnya dan mula merakam dari belakang mangsa.

Wanita itu berkata, beliau berasa kurang selesa dengan perbuatan suspek dan rakaman CCTV jelas menunjukkan lelaki berkenaan merakam dari bahagian bawah skirtnya.

Ketua polis daerah Sentul, ACP R Munusamy mengesahkan pihaknya menerima laporan itu tetapi enggan mendedahkan maklumat lanjut.

The Malaysian Insight cuba menghubungi suspek tetapi belum mendapat maklum balas.

Usaha mendapatkan komen Azis juga masih belum berjaya. – 9 September, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen