Polis bebas dua pelajar bantah Maszlee sebagai presiden UIAM 


Zaim Ibrahim

Asheeq Ali Sethialivi (dua kiri) dan Nur Izzah Tazali (kanan) dibebaskan dengan ikat jamin selepas ditahan polis kerana mengadakan bantanhan di pejabat Kementerian Pendidikan semalam. – Gambar Facebok, 8 September, 2018.

DUA aktivis mahasiswa yang ditahan polis selepas membantah pelantikan Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di pejabat Kementerian Pendidikan dibebaskan pagi ini.

Asheeq Ali Sethialivi dan Nur Izzah Tazali dibebaskan masing-masing oleh seorang penjamin di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, pukul 8 pagi tadi.

Asheeq berkata, mereka ditahan polis selepas pegawai Kementerian Pendidikan membuat  laporan berhubung tunjuk perasaan duduk bantah mereka semalam.

“Bila siasatan dibuat, saya tanya mereka (pihak polis) sebab saya ditahan, laporan dibuat oleh pegawai tadbir KPM,” kata Asheeq ketika dihubungi The Malaysian Insight sejurus pembebasannya pagi tadi.

Asheeq, mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Nur Izzah, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditahan sekitar pukul 1.30 pagi tadi selepas mereka membuat tunjuk perasaan di perkarangan pejabat Kementerian Pendidikan di Putrajaya, semalam.

Asheeq berkata, semasa mereka ditahan, polis datang dengan kekuatan 20 pegawai beruniform dan 10 pegawai Unit Tindakan Khas (UTK).

Katanya hanya beliau dan Nur Izzah sahaja ditahan kerana mereka berada di dalam pagar perkarangan pejabat kementerian manakala aktivis-aktivis pelajar yang berada di luar pagar tidak ditahan.

Penasihat Khas Menteri Pendidikan Wan Saiful Wan Jan (dua kiri) malam tadi menziarahi kumpulan mahasiwa yang menunjuk perasaan itu dan memujuk mereka menamatkan bantahan. – Gambar Facebok, 8 September, 2018.

Penasihat Khas Menteri Pendidikan, Wan Saiful Wan Jan malam tadi menziarahi kumpulan mahasiwa yang menunjuk perasaan itu dan memujuk mereka menamatkan bantahan.

“Beliau datang untuk memujuk kami menamatkan bantahan kerana beliau tidak mahu kami ditangkap. Beliau minta tiga tahun (peluang) Maszlee jadi presiden UIAM,” katanya.

Perbincangan antara kumpulan mahasiswa itu dengan Wan Saiful berjalan hampir satu jam, tambahnya. 

Menurut Asheeq, pihaknya dimaklumkan oleh Wan Saiful bahawa Maszlee setakat ini tidak akan menolak pelantikan sebagai presiden UIAM.

Wan Saiful yang dihubungi oleh The Malaysian Insight mengesahkan rundingan beliau dengan aktivis pelajar semalam di perkarangan bangunan kementerian.

“Kita akan keluarkan satu kenyataan berkenaan isu itu sebentar lagi,” katanya ringkas.

Beberapa orang menteri Kabinet turut menegur cara bantahan pelajar universiti itu dikendalikan oleh pihak berkuasa.

“Pelajar-pelajar yang berdemonstrasi minta Menteri Pendidikan letak jawatannya sebagai Presiden (UIAM) tidak sepatutnya ditahan. Sekiranya ditahan, harus dibebaskan,” kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Pihak polis tiba di bangunan Kementerian Pendidikan selepas menerima aduan dari pegawai kementerian. – Gambar Facebok, 8 September, 2018.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata tindakan pihak polis menahan pelajar itu menunjukkan sikap yang tidak bertoleransi.

“Pelajar-pelajar ini mempunyai hak untuk membantah dan meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan baharu. Kita (kerajaan) tidak boleh dilindungi daripada sebarang kritikan,” katanya.

Semalam, tidak lebih 10 aktivis mahasiswa dari beberapa universiti berkumpul di bangunan Kementerian Pendidikan di Putrajaya sejak pukul 8 pagi sebagai membantah pelantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM.

Menjelang lewat malam, jumlah itu bertambah jadi kira-kira 20 orang.

Semalam juga, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, pelantikan Maszlee itu akan dikaji semula selepas mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH). 

Maszlee sebelum itu mempertahankan keputusannya itu kerana beranggapan, ia tidak bercanggah dengan manifesto PH malah dilantik atas perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku ketua perlembagaan UIAM.

Maszlee juga menyifatkan pelantikannya sebagai presiden UIAM akan menjimatkan duit rakyat kerana beliau menolak menerima gaji atau elaun.  – 8 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen