Terima pelantikan untuk jimat kos, tak mahu dituduh derhaka, kata Maszlee


Desmond Davidson

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berniat jimat duit pembayar cukai. – Gambar The Malaysian Insight, 7 September, 2018.

PERTIMBANGAN utama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menerima lantikan sebagai presiden UIAM adalah untuk menjimatkan duit pembayar cukai.

“Di bawah perlembagaan universiti, saya sebagai menteri, tak menerima satu sen pun sebagai presiden.

“Saya tak dapat elaun. Tak ada fikir tentang duit,” katanya kepada pemberita di Kuching dalam lawatannya menerima jemputan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg di Petrajaya.  

Beliau berkata jika dia menolak lantikan itu, universiti terpaksa bayar orang yang mereka lantik. .

Jika itu berlaku, kata Maszlee, pembayar cukai terpaksa membayar mereka.

Beliau berkata melantik presiden yang bukan menteri bermakna pihak universiti terpaksa membayar gajinya dan faedah-faedah lain.

Jumlah untuk urusan itu menurut beliau, boleh mencecah sehingga setengah juta ringgit.

“Namun jika menteri dilantik sebagai presiden, kita dapat berjimat sebanyak setengah juta ringgit.

“Saya harus buat keputusan sama ada biarkan rakyat bayar lebih banyak, atau berjimat dan ambil kira setiap sen duit pembayar cukai.”

Dia berkata penerimaan lantikan itu masih berada di dalam semangat Pakatan Harapan “kerana kita akan menjimatkan kos-kos yang ada.”

“Kita tak akan belanja duit pembayar cukai sesuka hati. Jika kita betul-betul hargai duit mereka, maka saya fikir harus terima jawatan presiden tersebut.”

Bagaimanapun, Maszlee turut berkata beliau harus mendapatkan nasihat Sultan Pahang dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai lantikan kontorversi itu.

“Saya tak ada kuasa untuk tentukan apa-apa.

“Saya harus junjung pilihan sultan. Nasihat tuanku diperlukan.”

Beliau berkata perasaannya di persimpangan dilema jika dia menolak lantikan itu sebelum ini.

“Saya mungkin boleh dituduh derhaka (kepada sultan).”

Beliau ketika ditanya mengenai kritikan daripada bekas menteri pendidikan Khaled Nordin yang mengatakan beliau tidak mungkin ada masa untuk jalankan tugas lantikan itu, Maszlee menjawab: “Saya ada banyak waktu. Saya tak main golf.

“Saya tak ada masa hisap cerut di kelab-kelab elit. Dan tentunya saya ada cukup masa untuk fikir tentang urusan pendidikan negara.”

Lantikan Maszlee sebagai presiden UIAM sebelum ini telah mendapat kritikan banyak pihak termasuk pimpinan PH.

Maszlee adalah bekas pelajar dan turut bertugas sebagai pensyarah di UIAM sebelum menyertai Bersatu. Beliau kemudian bertanding pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu dengan tiket PH. – 7 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen