Putrajaya akan kaji semula pelantikan Maszlee ke UIAM


Chan Kok Leong Zaim Ibrahim

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sidang media Pakatan Harapan hari ini berkata pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai presiden UIAM akan disemak semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 September, 2018.

PUTRAJAYA akan menyemak semula pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas menerima banyak maklum balas tentang perkara itu, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Kami sensitif dengan sentimen umum dan akan menyemak semula pelantikan itu kerana ia belum muktamad,” kata perdana menteri pada sidang media hari ini.

Maszlee daripada Bersatu menerima kritikan selepas pengumuman beliau akan menerima jawatan presiden UIAM awal minggu ini.

Di Sarawak hari ini, Maszlee berkata beliau menerima pelantikan itu bagi menjimatkan wang pembayar cukai, kerana beliau tidak akan menerima elaun sebagai presiden UIAM.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu pernah menjadi pensyarah sains politik di UIAM sebelum menyertai Bersatu dan bertanding pada PRU14.

Walaupun pelantikan itu dibuat oleh Sultan Pahang dan dialu-alukan oleh alumni UIAM, pihak lain mengkritik langkah berkenaan, terutama sekali memandangkan Maszlee sebagai menteri pendidikan berjanji memberikan lebih autonomi kepada universiti dan lebih kebebasan akademik.

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata pelantikan Maszlee boleh membawa kepada politik tidak sihat di universiti selain menjejaskan integritinya dan kerajaan baharu.

Kumpulan itu menggesa Maszlee menolak pelantikan itu untuk menunjukkan kerajaan PH komited kepada ketelusan dan tadbir urus yang baik.

Pengguna media sosial juga berkata menerima pelantikan itu akan bertentangan dengan janji Maszlee untuk memberikan autonomi kepada universiti dan akademik. – 7 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen