SEBATAN awam dilaksanakan ke atas dua wanita kerana melakukan hubungan sejenis tidak menggambarkan keadilan dan timbang rasa seperti mana diajar Islam, kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri menambah memandangkan itu adalah kesalahan pertama dilakukan kedua-dua wanita berkenaan, mereka sepatutnya dinasihati dan bukannya disebat secara terbuka.
“Ia memberi gambaran buruk kepada Islam,” kata Dr Mahathir yang turut berkata isu itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam.
“Pihak Kabinet berpendapat bahawa ini tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam,” katanya dalam video Facebook yang dimuat naik pagi ini.
“Sebab itu kami berpendapat bahawa, kalaupun ada kes-kes yang semacam ini, pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu, yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukum yang lebih ringan sementara kita memberi nasihat dan sebagainya.
“Amatlah penting kita menunjuk agama Islam ini bukanlah agama yang bengis yang suka menjatuhkan hukum-hukum yang berat yang mengaibkan orang.”
Dr Mahathir turut menambah yang timbang rasa adalah tunjang ajaran Islam:
“Sedangkan kita selalu, apabila bermula (memulakan) sesuatu dengan “Bismillahirrahmanirrahim”, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani tetapi kita tunjuk seolah-seolah dalam Islam ini tidak ada perasaan pemurah sama sekali,” kata negarawan berusia 93 tahun itu.
Mahkamah Syariah Terengganu dengan bantuan pegawai penjara menjalankan hukuman sebat ke atas dua wanita berkenaan di depan 100 orang pada Isnin.
Dua wanita berkenaan berumur 32 dan 22 tahun disebat selepas mahkamah Syariah menyabitkan kesalahan ke atas mereka kerana mengadakan hubungan seks luar tabii dalam kereta pada 8 April lalu.
Hukuman sebat yang dilaksanakan itu adalah yang pertama ke atas wanita dijalankan di Terengganu menurut undang-undang Syariah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Mujahid Yusof Rawa berkata cara sebatan menurut undang-undang Islam perlu diambil kira.
Sebatan itu mencetuskan kecaman dalam dan luar negara dan beberapa kumpulan hak asasi manusia.
“‘Hukuman’ keji itu tidak selari dengan cara Islam di Malaysia berkembang,” kata Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Latheefa Koya. – 6 September, 2018.
Komen