DUA wanita yang disabitkan tuduhan pasangan lesbian hari menjalani hukuman sebat di khalayak ramai di Kuala Terengganu, disaksikan kira-kira 100 orang, lapor Harian Metro.
Masing-masing, berusia 32 dan 22 tahun, disebat pagi ini di depan 100 saksi, kata laporan itu.
Mereka sebelum ini mengaku salah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 12 Ogos lepas atau tuduhan musahaqah atau memuaskan nafsu antara perempuan dengan perempuan. Mereka dituduh di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa cuba melakukan perhubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, pada tengah hari 8 April lepas.
Bagaimanapun, Mahkamah Syariah Terengganu menangguhkan hukuman mereka atas alasan teknikal.
Ini adalah kali pertama wanita menerima hukuman di bawah undang-undang syariah di Terengganu.
Berita mengenai hukuman mereka, yang menjadi tajuk utama di luar negara, menyebabkan bantahan di kalangan masyarakat sivil.
Amnesty International Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan campur tangan untuk menghentikan hukuman itu, dengan mengatakan ia adalah penyeksaan.
Suhakam mengecam keputusan Mahkamah Syariah Terengganu dan menyifatkan hukuman tersebut “menghina dan mengaibkan” serta satu cubaan untuk memalukan kedua-dua wanita terbabit dan keluarga mereka secara terbuka.
Hukuman sebat ke atas wanita di Malaysia amat jarang berlaku. Kali pertama seorang wanita disebat di bawah undang-undang Islam ialah pada Februari 2010, di mana tiga wanita didapati bersalah melakukan zina. – 3 September, 2018.
Komen