Haji yang termansuhkan


Hadri Shah

Setiap kali musim haji, berjuta umat Islam berkumpul di Mekah di Arab Saudi untuk menunaikan rukun Islam kelima. – Gambar AFP, 4 September, 2018.

USAI membaca artikel teman karib Mohd Syazreen Abdullah di kolum beberapa hari lalu mengingatkan aku kepada satu cerita.

Rasanya belum cukup setahun lalu, ada seorang ustaz muda dijemput pihak masjid untuk mengisi slot kuliah sementara menunggu khutbah Jumaat diperdengarkan.

Di pertengahan kuliah, ustaz muda tersebut menyatakan kebimbangannya kepada jemaah masjid akan berita yang dia baru terima berkenaan situasi terkini di Mekah.

Berita berkenaan disampaikan oleh rakan-rakan seperjuangan ustaz melalui aplikasi WhatsApp.

Menurut kawan-kawannya, projek pembangunan melibatkan kemudahan di sekitar Mekah kini tergendala kerana krisis kewangan yang dialami kerajaan Arab Saudi.

Tetapi bukan kerana tergendalanya projek-projek itu yang membimbangkan ustaz, melainkan khabar angin deras mengatakan krisis kewangan itu disebabkan peranan kerajaan Arab Saudi dalam urusan pembelian kelengkapan ketenteraan dan perang ke atas Yaman.

Sudahnya, sebelum mengakhiri kuliah singkat beliau, beliau pun membacakan sebuah doa yang sungguh syahdu yang panjang. Antara kandungannya ialah beliau merayu kepada Tuhan agar berita itu hanyalah sekadar khabar angin yang tidak bermakna apa-apa.

Aku yang termangu kebosanan di satu sudut di dalam masjid tertanya sendirian, selain membaca mesej atau berita dunia di WhatsApp, ustaz ini tak pernah baca The Guardian?

Bukankah perang di Yaman itu satu kenyataan yang memeritkan sejak 2015 lagi? Kenapa pula selepas hampir dua tahun perang berlangsung tiba-tiba kita mengharapkan agar berita itu cumalah khabar angin?

Lama sebelum itu, Ajmal Masroor menulis sebuah artikel tentang pengalamannya mengerjakan haji pada tahun 2012 bertajuk What Have They Done to My Hajj? yang disiarkan The Guardian.

Menurut Ajmal, haji adalah tentang pembaharuan keimanan individu dan jemaah.

“(Tetapi) Saya amat bimbang bahawa haji mungkin kehilangan makna rohaninya yang sebenar. Saya mungkin mencapai kejayaan peribadi untuk menyelesaikan ritual, tetapi kos ekonomi, alam sekitar dan krisis sosial sangat mengejutkan. Saya meratapi kelajuan perubahan yang menyapu bandar ini, menghapuskan sejarah dan warisan sepanjang proses itu.”

Berbeza dengan cerita para Haji dan Hajah lain yang selalu menceritakan perasaan hiba, terharu dan menangis teresak-esak sepanjang berada di sana, Ajmal sebaliknya mengkritik keadaan yang berlaku di Mekah.

Pencemaran yang menjadi-jadi, pembaziran masa di atas jalan raya, faktor ekonomi yang menyebelahi kelas kaya dan menyisihkan si miskin serta bangunan pencakar langit simbol keangkuhan yang dipasak di bumi telah meranapkan semangat kesucian yang sepatutnya disedut jutaan manusia yang berasak-asak di keliling Kaabah.

Apa yang disuarakan oleh Ajmal barangkali benar.

The Independent pada 2011 melaporkan perubahan Mekah yang jadi seperti kota hiburan ala Las Vegas.

Menurut The Independent, Mekah sebagai tempat Nabi Muhammad menegaskan konsep kesamarataan antara manusia menjadi taman permainan untuk kelas kaya (elit). Para pengkritik mengatakan, pertumbuhan kapitalisme di Mekah secara terang-terang merampas kerohanian yang menjadi raison d’être bandar raya itu.

Berdasarkan kisah-kisah begini, ritual rukun kelima umat Islam ini nampaknya gagal membentuk keperibadian ulung penganutnya.

Pencemaran yang menjadi-jadi, pembaziran masam, faktor ekonomi menyebelahi kelas kaya, bangunan pencakar langit meranapkan semangat kesucian yang sepatutnya disedut jutaan manusia yang berasak-asak di keliling Kaabah. – Gambar EPA, 4 September, 2018.

Mekah hanya menjadi tempat kunjungan setiap tahun untuk “menyucikan jiwa”. Tetapi sekembalinya para haji dan hajah ke tanah air masing-masing,  mereka hanya pulang dengan cerita-cerita sebak dan berkongsi bertong-tong air zam-zam, kurma dan tasbih dengan kaum kerabat dan orang kampung.

Namun dunia tetap menerima nasib yang sama. Malah lebih teruk. Peperangan, kapitalisme, jurang kaya dan miskin, kemelaratan, rasisme, ketuanan bangsa – semua ini kekal menguasai dunia.

Jadinya, berdosakah kita untuk bertanya, apakah maknanya ibadah haji?

Antara keganasan Arab Saudi dan ketaatan berbilion umat mengelilingi Kaabah, dari sudut manakah ritual haji mampu mengisi usaha-usaha mencipta dunia yang lebih baik?

Sekiranya ketauhidan kepada Yang Maha Esa menggetarkan jiwa hamba-hambaNya untuk melakukan perkara yang wajar dan meninggalkan yang tidak, mengapa yang tinggal sekarang hanyalah zombi-zombi yang lompong jiwa kemanusiaannya? Mengapa wajib yang rukun itu gagal mempengaruhi keadaan kemasyarakatan?

Berbalik kepada isu perang Arab Saudi ke atas Yaman, masyarakat dunia perlu sedar, bukan Syria saja yang sedang hangus terbakar.

Pada November 2017, Save the Children melaporkan 130 kanak-kanak mati setiap hari, dengan 50,000 kanak-kanak dipercayai mati pada 2017. Manakala pada Disember 2016, Unicef melaporkan kanak-kanak mati setiap 10 minit akibat penyakit yang boleh dicegah seperti cirit-birit, kekurangan zat makanan dan jangkitan saluran pernafasan. Sebuah NGO di United Kingdom NGO meletakkan angka kematian akibat penyebab yang boleh dielakkan berjumlah 10,000.

Nyawa menjadi murah. Berjuta orang hilang tempat tinggal. Anak-anak kecil hilang alam persekolahan. Tiga juta bayi yang lahir di Yaman sepanjang perang dijangka akan membesar melihat keganasan dirayakan di depan mata.

Dan kita yang mencita-citakan haji yang mabrur ini tergamak memejamkan mata sambil mengelilingi Kaabah dengan harapan Tuhan mengampuni dosa-dosa silam?

Berapa puluh ribu lagi angka-angka ini perlu meningkat untuk menyedarkan para haji dan hajah untuk melupakan hasrat menunaikan rukun kelima mereka?

Apakah iklim kapitalisme yang gagah berpusat di Mekah dan keangkuhan Arab Saudi membakar daerah-daerah Yemen sehingga menjadi abu sedikit pun tidak merubah niat berihram mereka?

Kenyataan seorang wakil persatuan imam di Tunisia baru-baru ini melegakan aku.

“Wang yang disalurkan kepada pihak berkuasa Saudi (dari Haji) tidak digunakan untuk membantu umat Islam miskin di seluruh dunia, sebaliknya ia digunakan untuk membunuh dan memindahkan orang seperti yang berlaku di Yemen,” kata Fadhel Ashour, seperti dipetik Al-Araby.

Fadhel menambah Tunisia perlu memboikot haji dan membelanjakan wang mereka di dalam negeri untuk memperbaiki keadaan orang di negara Afrika Utara.

Nah! Inilah kenyataan yang ditunggu tunggu selama ini, selama Arab Saudi merosakkan keberadaan Mekah, selama ritual tahunan yang gagal membentuk peribadi ulung penganut Islam, dan selama perang yang didalangi Arab Saudi menghanguskan Yemen untuk tahun ketiga.

Bagi umat Islam, kemampuan yang paling utama saat ini bukanlah menyemak baki duit simpanan dalam akaun Tabung Haji, tetapi kemampuan mereka untuk mempertahankan nilai kemanusiaan, untuk berani berkata benar dan bersikap radikal serta kritis dalam berhadapan gergasi berautoriti seperti kerajaan monarki Arab Saudi.

Seperti yang ditulis oleh Ajmal dalam artikelnya di The Guardian: “Pada kadar ini, ibadah haji tidak lama lagi akan menjadi ritual materialistik, pertunjukan untuk orang yang kaya raya untuk memaparkan kekayaan dan kebangsawanan mereka.

Aku sesungguhnya sangat merindui haji yang menghubungkan aku dengan peranan dan semangat Nabi Ibrahim yang seterusnya memusatkan aku kepada Tuhan semesta alam.” – 4 September, 2018.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen