Pembebasan kes rasuah Guan Eng jadi bahan kempen MCA di Balakong


Gan Pei Ling

Pembebasan Lim Guan Eng daripada pertuduhan kes rasuah menjadi bahan kempen MCA di program ceramah PRK DUN Balakong malam tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2018.

SENATOR Ong Chong Sen daripada MCA mendesak Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi penjelasan kepada umum berkenaan pembelian banglo di bawah harga pasaran walaupun dibebaskan daripada pertuduhan itu.

“Kenapa penjual sanggup jual murah? Sukar untuk orang biasa berunding turunkan harga bila kami hendak beli hartanah. Jadi bagaimana Lim Guan Eng dapat beli harga murah?

“Pakatan Harapan baru saja empat bulan pegang kuasa dan kini dia dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan,” kata Ong pada satu program ceramah di Taming Jaya, Balakong, malam tadi.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Lim semalam susulan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan tersebut.

Lim didakwa melakukan rasuah kerana membeli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang pada harga RM2.8 juta pada Julai 2015 daripada Phang Li Khoon, ketika nilai pasaran menyatakan harganya pada RM4.27 juta.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan membeli banglo daripada Phang pada harga RM2.8 juta ketika nilai pasaran hartanah itu dikatakan bernilai RM4.27 juta pada 28 Julai, 2015 – kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Beliau boleh dihukum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Phang didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Lim pada 28 Julai tahun lepas berhubung pembelian banglo itu. Beliau menghadapi hukuman yang sama di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan jika didapati bersalah.

Lim juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dan isterinya Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem untuk menukar status tanah pertanian kepada kediaman semasa mesyuarat jawatankuasa perancang negeri pada 18 Julai, 2014 – satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah daripada kes rasuah berhubung pembelian banglonya pada harga bawah nilai pasaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2018.

Lim mempertahankan dirinya dengan mendakwa beliau menjadi mangsa pendakwaan politik kerana pertuduhan itu dimulakan ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terkejut dengan keputusan mahkamah itu.

Ong turut mempertikaikan kerana Phang membelanjakan RM300,000 untuk mengubahsuai banglo itu dan menyewakannya kepada Lim pada harga RM5,000 sebulan sebelum menjual kepadanya.

“Kenapa murah sangat rumah itu? Jika anda atau saya yang dapat diskaun ia mungkin bukan masalah besar, tetapi dia ketua menteri. Pegawai kerajaan tidak boleh terima hadiah,” kata Ong.

Beliau turut membangkitkan kes pegawai khas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang berjaya mengumpulkan lebih RM800,000 untuk membayar hutangnya sebaik saja selepas PH mengambil alih Putrajaya.

“Kenapa anda orang tiba-tiba pinjamkan wang kepadanya? Adakah orang ini akan pinjamkan duit kepada anda dan saya?,” kata Ong.

Beliau berkata itu semua tanda bahawa memegang kuasa sudah pun menyebabkan PH rasuah.

“Memandangkan mereka bangga sangat kononnya bersih, mereka perlu hidup dengan standard prinsip mereka sendiri,” kata Ong. – 4 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen