SPRM terkejut pertuduhan terhadap Lim, Phang digugurkan


Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini dibebaskan dan dilepaskan oleh mahkamah atas tuduhan rasuah berhubung pembelian banglonya di bawah harga pasaran. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 3 September, 2018.

KEPUTUSAN untuk menarik balik pertuduhan terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dibuat oleh Pejabat Peguam Negara, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“SPRM terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membebaskan Lim daripada tuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah banglo daripada bekas pemilik rumah Phang Li Khoon,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

“SPRM mahu menekankan bahawa keputusan menarik balik kes itu dibuat oleh peguam negara, bukannya SPRM.”

Awal bulan lepas, Pejabat Peguam Negara menjelaskan sebarang keputusan berhubung kes pendakwaan terhadap Lim tidak melibatkan Peguam Negara Tommy Thomas, yang menarik diri daripada semua perbincangan di jabatan itu mengenai kes tersebut.

Lim yang juga menteri kewangan didakwa melakukan rasuah kerana membeli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang pada harga RM2.8 juta pada Julai 2015 daripada Phang, ketika nilai pasaran menyatakan harganya pada RM4.27 juta.

Pihak pendakwaan memberitahu mahkamah hari ini ia memutuskan untuk tidak meneruskan kes itu lagi.

Phang juga didakwa kerana bersubahat dengan Lim pada 28 Julai tahun lalu.

Lim dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan membeli banglo daripada Phang pada harga RM2.8 juta ketika nilai pasaran hartanah itu dikatakan bernilai RM4.27 juta pada 28 Julai, 2015 – kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Beliau boleh dihukum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Phang didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Lim pada 28 Julai tahun lepas berhubung pembelian banglo itu. Beliau menghadapi hukuman yang sama di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan jika didapati bersalah.

Lim juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dan isterinya Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem untuk menukar status tanah pertanian kepada kediaman semasa mesyuarat jawatankuasa perancang negeri pada 18 Julai, 2014 – satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Phang dilaporkan sebagai pengarah Emblem Magnificent. – 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen