Saya tidak gembira lantikan Rahim Noor, kata Wan Azizah


Gan Pei Ling

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Ismail menerima dan menghormati keputusan Dr Mahathir Mohamad melantik Rahim Noor sebagai ketua pengantara rundingan damai Thailand dengan kumpulan militan Islam di negara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2018.

TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau tidak berpuas hati dengan pelantikan bekas ketua polis negara Rahim Noor sebagai ketua pengantara rundingan damai kerajaan Thailand dan pemberontak Islam.

“Saya tidak begitu gembira tetapi ia adalah sebahagian daripada prerogatif perdana menteri. Beliau (Dr Mahathir Mohamad) ada memberitahu saya yang beliau rasa Tan Sri Rahim mempunyai pengalaman dalam menangani aktiviti pemberontakan dan keganasan,” kata Wan Azizah kepada BFM dalam temubual rancangan radio pagi ini.

Rahim, 75, menggantikan Ahmad Zamzamin Hashim sebagai pengantara utama dalam rundingan damai antara kerajaan Thailand dan Mara Patani, sebuah badan yang mewakili kumpulan militan di selatan Thailand.

Rahim mempunyai rekod buruk apabila didenda dan dipenjara pada 2001 kerana menyerang suami Wan Azizah dan bekas timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim ketika beliau ditahan polis bagi tuduhan liwat dan rasuah pada 1998.

Pelantikannya juga ditentang oleh anak perempuan Anwar dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

“Saya menjelaskan kepada beliau (Dr Mahathir) yang anak perempuan saya mempunyai keraguan… Ini tidak mudah diterima. Saya fikir penting bagi negara jika kita dapat menyelesaikan konflik, sesiapa yang dipilih perlu melaksanakannya,” kata Wan Azizah.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata Rahim adalah calon terbaik untuk tugas itu kerana beliau berjaya merundingkan perjanjian damai yang ditandatangani dengan komunis di Selatan Thailand 1989.

“Beliau tahu selok-belok perkembangan di Thailand. Saya yakin PM melihat keupayaannya serta kemahirannya dan tugas itu diberikan kepadanya,” kata Mohamad kepada pemberita. – 30 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen