Pelantikan Rahim Noor tak hormat bakal PM, kata Khairy


Khairy Jamaluddin menyifatkan pelantikan Rahim Noor sebagai pengantara rundingan damai antara Thailand dan pemberontak Islam di negara itu yang dianjurkan Malaysia, sebagai 'mata lebam' untuk Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2018.

KHAIRY Jamalauddin menyifatkan pelantikan Rahim Noor sebagai pengantara rundingan damai antara Thailand dan pemberontak Islam di negara itu sebagai tidak mengormati bakal perdana menteri Anwar Ibrahim.

“Dia (Rahim) berpengalaman luas menangani pemberontakan komunis, tetapi pelantikannya seperti ‘mata lebam’ (menyakiti) kepada Malaysia.

“Saya mungkin pihak berlainan, tetapi tunjuk hormat sedikit kepada bakal perdana menteri anda. Tidak berhati perut dan hina sekali. Sama seperti ‘Palpatine’,” kata Khairy menerusi Twitternya.

“Mata lebam” itu merujuk kepada kecederaan dialami Anwar setelah ditumbuk Rahim ketika perbicaraan kes liwat pertamanya pada 1998. Rahim disabitkan bersalah kerana tindakannya itu pada 2001. 

“Palpatine” pula merujuk kepada watak jahat dalam filem Star Wars.

Menurut perjanjian antara parti dalam Pakatan Harapan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam tempoh dua tahun selepas mereka menang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Malaysia menjadi orang tengah dalam rundingan damai antara kerajaan Thailand dengan kumpulan pemberontak Mara Patani bagi mencari penyelesaian kepada konflik berpanjangan di selatan Thailand berhampiran dengan sempadan Malaysia itu. 

Rahim menggantikan Ahmad Zamzamin Hashim yang dilantik pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini. – 26 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen