Rahim Noor dilantik atas kepakaran beliau, kata Mat Sabu


Kamles Kumar

Mohamad Sabu berkata Rahim Noor individu yang terbaik sebagai pengantara rundingan damai antara Thailand dan pemberontak Islam kerana bekas ketua polis negara itu pernah terlibat dalam rundingan semula pada 1989 sehingga satu perjanjian damai berjaya ditandatangani. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2018.

PELANTIKAN bekas ketua polis negara Rahim Noor sebagai pengantara rundingan damai antara Thailand dan pemberontak Islam adalah berdasarkan pengalaman dan kepakarannya, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Kemahirannya dalam membuat rundingan juga menjadi sebab mengapa beliau dilantik oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi peranan itu.

“Beliau tahu selok-belok perkembangan di Thailand. Saya yakin PM  melihat kemahiran dan keupayaan beliau dan sebab itulah beliau diberikan tugas itu,” Mohamad memberitahu pemberita hari ini.

Pelantikan Rahim itu dikiritk oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang mendakwa tindakan itu tidak menghormati Anwar kerana Rahim telah disabitkan bersalah menyerang bekas timbalan perdana menteri itu dalam kes liwat pertamanya.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, Rahim jelas individu yang terbaik menggalas tugas tersebut kerana bekas ketua polis negara itu pernah terlibat dalam rundingan semula pada 1989 sehingga satu perjanjian damai berjaya ditandatangani.

“Semasa zaman Dr Mahathir beliau ditugaskan untuk berunding dengan komunis di sana. Sehingga perjanjian damai berjaya ditandatangani di selatan Thailand pada 1989,” tambah beliau.

Malaysia menjadi orang tengah dalam rundingan damai antara kerajaan Thailand dengan kumpulan pemberontak Mara Patani bagi mencari penyelesaian kepada konflik berpanjangan di selatan Thailand berhampiran dengan sempadan Malaysia itu. 

Rahim menggantikan Ahmad Zamzamin Hashim yang dilantik pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini. – 28 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen