ECRL, projek paip cubaan selesaikan hutang 1MDB, kata wartawan


Mohd Farhan Darwis

PROJEK mega Malaysia dengan China yang hendak dibatalkan oleh pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad adalah cubaan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menyelamatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata wartawan kanan P Gunasegaram.

Beliau mendakwa kos yang melambung untuk Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan dua projek paip gas yang dikaji semula oleh Putrajaya sekarang bertujuan untuk menutup hutang 1MDB.

“Projek ECRL lebih mahal RM20 bilion bersama projek paip yang lebih mahal RM10 bilion adalah untuk menutup lubang (hutan),” katanya pada majlis pelancaran bukunya mengenai skandal 1MDB di Petaling Jaya, hari ini.

Buku bertajuk “1MDB: Skandal yang Menjatuhkan Kerajaan” itu diterbitkan oleh Pusat Informasi Strategik dan Pembangunan Penyelidikan (SIRD).

Awal Julai lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan kos pembinaan projek ECRL yang sebenarnya berjumlah RM81 bilion selepas mengambil kira kos pengambilan tanah, faedah, yuran dan kos operasi lain, dan terlebih kira-kira RM30 bilion daripada kos yang diumumkan oleh pentadbiran Najib Razak.

Semasa lawatan rasmi ke China baru-baru ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Putrajaya membatalkan tiga projek itu kerana kosnya yang melambung yang katanya, berpunca daripada pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Beliau kemudian menjelaskan kajian masih perlu dibuat sama ada untuk menangguhkan projek itu atau menyelesaikannya dengan cara lain.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, Dr Mahathir berkata ada pihak sedia membangunkan projek ECRL pada kos serendah RM10 bilion.

Najib bagaimanapun menafikan dakwaan Putrajaya dan menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat ketiga-tiga projek itu bagi menentukan sebarang salah laku.

Bekas perdana menteri itu juga mendesak Dr Mahathir mendedahkan dokumen berkaitan tiga projek itu “supaya rakyat boleh menilai sendiri”.

Mengulas buku yang ditulisnya dengan KiniBiz itu, Gunasegaram berkata ia adalah yang pertama seumpamanya yang menyeluruh mengenai skandal 1MDB.

“Buku ini adalah rekod sesuatu yang dahsyat pernah berlaku dalam negara yang diselamatkan dalam pilihan raya umum ke-14.

“Boleh dikatakan 1MDB yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan BN di samping isu lain termasuk GST (cukai barang dan perkhidmatan),” katanya lagi.

Buku itu turut mengenal pasti beberapa individu yang bertanggungjawab dalam skandal yang disiasat beberapa negara itu, dan Gunasegaram mengaku proses mencari keadilan akan mengambil masa yang panjang. – 28 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen