PUTRAJAYA perlu mendedahkan semua dokumen berkaitan projek mega disokong China untuk rakyat Malaysia nilai dan tentukan sama ada kerajaan Barisan Nasional sebelum ini bertindak dengan niat jahat.
Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, rakyat berhak untuk tahu sekiranya projek berkenaan - Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan dua projek paip gas - dibatalkan atas sebab yang kukuh.
“... dan tidak dibuat bersandarkan kepada kemarahan terhadap kerajaan BN atau terhadap kerajaan China yang tidak mahu tunduk dengan kemahuan Pakatan Harapan,” katanya dalam posting di Facebook.
Najib turut menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap ketiga-tiga projek berkenaan bagi mengenal pasti sebarang salah laku.
“Sehingga kesemua dokumen itu didedahkan, saya kecewa dan sedih bagi penduduk Pantai Timur Semenanjung kerana akan kehilangan pembangunan pemangkin kemajuan negeri mereka dan peluang untuk mereka meningkatkan taraf ekonomi sama seperti yang diperolehi penduduk di pantai barat,” katanya.
Beliau juga berkata ketiga-tiga projek itu mempunyai klausa penamatan (exit clauses) tidak seperti perjanjian konsesi IPP ataupun tol jalan raya dari zaman pentadbiran pertama Dr Mahathir dulu.
“Sehingga sekarang, kerajaan PH tidak dapat memenuhi janji untuk mansuhkan tol.
Dr Mahathir hari ini juga dilaporkan sebagai berkata keputusan sama ada untuk membatalkan atau menangguhkan projek mega terbabit masih belum diputuskan.
Beliau berkata kerajaan China bersetuju atas dasar masalah kewangan Malaysia tetapi butiran pembatalan atau penangguhan projek terbabit akan ditentukan oleh syarikat berkenaan.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ketika beliau berada di kawasannya untuk sambutan Hari Raya Haji semalam, ramai yang menyatakan kekecewaan mereka selepas mengetahui kerajaan PH membatalkan projek ECRL.
Najib turut menolak tanggapan salah berhubung kos sebenar projek ECRL. Beliau berkata adalah tidak benar BN menerima sogokan dari China ke atas projek berkenaan, dan kos RM30 bilion adalah berdasaran anggaran 2009 untuk jarak 545 kilometer sahaja.
Kerajaan BN kemudian memutuskan untuk menambah jarak kepada 688 kilometer pada 2016 yang menjadikan kos akhirnya pada RM55 bilion.
Kerajaan PH berkata kos projek ECRL adalah RM81 bilion dan RM9 bilion lagi untuk dua projek paip gas.
Naib turut menafikan pinjaman dan adar faedah terlalu tinggi sebagaimana yang didakwa kerajaan PH, dan menambah kerajaan mampu untuk meneruskan tiga projek berkenaan.
“Jika kita menggunakan angka RM81 bilion yang diberikan oleh Guan Eng termasuk kos faedah serta tambahan RM9 bilion bagi dua projek paip gas, keseluruhan kos adalah RM90 bilion.
“Pinjaman bagi ketiga-tiga projek ini adalah bagi tempoh 20 tahun dan tidak ada keperluan untuk membayar sekaligus. Maka, kita akan hanya membayar RM4.5 bilion bagi tempoh 20 tahun termasuk tiada keperluan membayar untuk 7 tahun pertama,” katanya.
Kontraktor ECRL adalah syarikat dari negara itu China Communications Construction Co Ltd.
Rel berkenaan sekiranya dibina akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dan Pengkalan Kubor di Kelantan. Ia dijadualkan untuk dibina menerusi dua fasa.
Anggaran sebelum ini menunjukkan ECRL boleh dibina dengan kos kurang RM40 bilion, tetapi ia meningkat naik kepada antara RM60 bilion dan RM70 bilion.
Turut dilaporkan, pada akhir Mac tahun ini - kira-kira 12 bulan selepas tiga projek berkenaan bermula - RM8.3 bilion atau 87.7% jumlah keseluruhan nilai kontrak dibayar kepada Biro Perpaipan Petroleum China, walaupun hanya 13% peratus projek berkenaan siap. – 23 Ogos, 2018
Komen