Projek China masih belum dibatalkan, kata Dr Mahathir


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau secara peribadinya mahu melihat kedua-dua projek mega terbabit dibatalkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2018

KERAJAAN belum memutuskan sama ada projek mega yang disokong China akan dibatalkan atau ditangguhkan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sekembalinya dari China.

Beliau memberitahu Malaysiakini secara dasarnya kerajaan China sedia maklum dengan masalah kewangan yang dihadapi Malaysia tetapi butiran mengenai pembatalan projek atau penangguhan bergantung kepada syarikat terbabit.

“Saya cakap kalau boleh, kita mahu batalkannya. Kalau tidak boleh, kita mahu tangguhkan dan melihat cara lain untuk menyelesaikan masalah kewangan kita. 

“Ini pilihannya. Ia bukannya keputusan hitam putih. Kamu perlu tinggalkan ruang untuk rundingan,” Dr Mahathir dipetik sebagai berkata.

Antara projek yang dilaporkan akan dibatalkan adalah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek paip Strategic Energy Resources (SSER).

Bagaimanapun, pemimpin berusia 93 tahun itu berkata, butiran pembatalan itu tidak dibincangkan ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Li Keqiang. 

“Kamu lihat, ini adalah butiran dan butiran tidak pernah dibincang dengan perdana menteri atau presiden. Kebanyakan tugasnya akan diselesaikan secara rasmi,” katanya. 

Beijing juga tidak tersinggung dengan pembatalan projek itu dan memahami pendirian Malaysia, kata Dr Mahathir. 

“China memahaminya - tiada seorang pun dari mereka katakan ‘tidak’ atau sesuatu seperti itu. Saya jelaskan kepada ketiga- tiga pemimpin - perdana menteri ketua parti dan juga presiden. 

“Mereka tidak pernah membantah atau mengatakan ia tidak betul..mereka akui kita mempunyai masalah keangan yang hanya boleh diselesaikan dengan memotong perbelanjaan,” katanya. 

Berhubung pampasan, Dr Mahathir menyerahkan kepada kemampuan rundingan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali. 

“Pampasan mereka disebut dalam perjanjian. Saya tidak membincangkannya kerana jelas apabila kita melakukan rundingan sebenar di peringkat rasmi, kita perlu mengambil titik itu, ” beliau dipetik sebagai berkata.

Kerajaan Barisan Nasional yang merundingkan perjanjian asal sebelum ini turut dikritik Dr Mahathir kerana tidak cekap dan tidak membaca kontrak itu dengan betul. 

“Ia kelihatan seolah-olah orang yang pergi ke sana untuk berunding dengan orang Cina sangat bodoh, mereka tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan perjanjian dan kontrak dan semua itu,” katanya.

Kontraktor ECRL adalah syarikat dari negara itu China Communications Construction Co Ltd.

Rel berkenaan sekiranya dibina akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dan Pengkalan Kubor di Kelantan. Ia dijadualkan untuk dibina menerusi dua fasa. 

Anggaran sebelum ini menunjukkan ECRL boleh dibina dengan kos kurang RM40 bilion, tetapi ia meningkat naik kepada antara RM60 bilion dan RM70 bilion. – 23 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen