Zunar batalkan pameran 'berlian pink' selepas Pemuda Umno ancam untuk hadir


Diyana Ibrahim

KARTUNIS satira politik Zulkiflee Anwar Ulhaque, yang turut dikenali sebagai Zunar membatalkan pameran pertamanya di Pulau Pinang berikutan “gangguan kumpulan pengacau”.

Pameran bertajuk “Ketawa Pink-Pink” Wyang membawakan watak wanita bersama barang kemas berlian merah jambu akan dibuka pada jam 8 pagi hingga malam di Lebuh Pantai esok.

Kartunis yang pernah memenangi anugerah itu merancang untuk hadir dan bertemu peminat, menandatangani buku serta menurunkan autograf dan bercakap mengenai hasil kerjanya.

Namun Zunar dalam satu kenyataan hari ini berkata, dia terpaksa membatalkan pameran itu selepas mendapat tahu Pemuda Umno Pulau Pinang mengedarkan poster kepada ahlinya untuk “melawat” pameran itu.

Berdasarkan pengalaman tahun lalu “lawatan” itu bukan lawatan yang biasa, namun lebih kepada ugutan fizikal.

“Pemuda Umno di bawah pemimpinnya Khairy Jamaluddin dalam banyak peristiwa semakin agresif, sebagaimana yang dilihat pada pameran saya di Komtar November laku,” katanya.

Pameran terakhir Zunar di Pulau Pinang pada 25 November lalu diganggu ahli Pemuda Umno.

Hari berikutnya, dia ditahan polis dan disiasat kerana mencetuskan kekecohan di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

Zunar berkata, daripada pengalaman sebelum ini tiada jaminan polis akan mengambil tindakan untuk menghentikan kekecohan itu.

“Jadi, saya tiada pilihan selain membatalkan oameran ini atas sebab keselamatan. Namun ia tidak akang menghentikan saya untuk menyampaikan mesej anti-rasuah menerusi kartun saya,” katanya.

 “Kita akan terbitkan buku Ketawa Pink- Pink tidak lagi lama yang berkait dengan pendedahan DoJ dan pembelian jutaan ringgit berlian pink.

“Saya juga akan menggerakkan idea untuk menjadikan lukisan dalam bentuk digital di mana orang ramai boleh memuat naik dan mengedarkan buku itu sendiri,” katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim menafikan penyebaran poster adalah tindakan untuk mengugut Zunar dengan mendakwa ia cuma andaian kartunis itu semata- mata.

“Kita berasa kecewa kerana dituduh akan membuat kacau di program itu. Lawatan kami itu hanya untuk melihat sendiri hasil lukisan Zunar. kami tiada niat di sebalik lawatan itu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.  – 29 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen