MASIH belum ada notis penjualan kapal pesiar mewah Equanimity diterima pemiliknya, yang berkata hak pemilikan dan penjagaan kapal itu masih menunggu perbicaraan kes di mahkamah AS yang bermatlamat mengutip kembali wang dirompak daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jurucakap pemilik Equanimity (Cayman) Ltd, Clementine Hay berkata mereka masih belum menerima sebarang notis penjualan walaupun pihak berkuasa Malaysia sudah mengumumkan akan menjual kapal bernilai AS$250 juta (RM1.025 bilion) yang dirampas 7 Ogos lalu.
“Untuk melakukan penjualan terus di Malaysia akan serta merta menjadi pelanggaran terang-terangan proses dan pematuhan perundangan antarabangsa serta menimbulkan persoalan siapakah sebenarnya pemilik kapal tersebut kepada bakal pembeli,” kata Hay dari syarikat perhubungan awam yang dilantik pemilik berdaftar kapal tersebut.
“Tindakan tanpa asas ini akan mewujudkan kemelut dalam pemilikan Equanimity yang boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan di beberapa mahkamah seluruh dunia,” tambahnya.
Malaysia berkata kapal mewah itu dibeli dengan wang hasil rompakan dana harta negara 1MDB, dakwaan yang sedang dibicarakan di mahkamah AS.
1MDB yang mengumpul hutang sarat cecah RM42 bilion adalah skandal kewangan rentas negara yang jadi antara punca kejatuhan kerajaan Najib Razak pada pengundian 9 Mei lalu. 1MDB kini sedang menuntut pemilikan kapal itu di mahkamah Malaysia.

Jurucakap berkata Equanimity (Cayman) Ltd menegaskan prosiding di mahkamah AS masih berjalan- termasuk di mahkamah rayuan AS- berkaitan hak pemilikan dan penjagaan kapal tersebut termasuklah permohonan terbaru yang difailkan dengan hakim AS dalam tempoh 24 jam termasuklah satu permohonan yang dilakukan seminggu lalu.
“Untuk Malaysia bertindak sendirian ketika terdapat permohonan mahkamah di AS yang masih menunggu giliran bicara adalah penghinaan kepada kedaulatan undang-undang antarabangsa. Hakikatnya, rampasan dilakukan Malaysia terhadap kapal itu sudahpun bertentangan dengan arahan mahkamah AS yang melantik kerajaan AS sebagai penjaga kapal tersebut,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kenyataan AS sebelum ini yang menyatakan ia tidak mengetahui rampasan kapal tersebut dilakukan Malaysia dan “barangkali AS juga tidak mendapat notis awal tindakan semasa Malaysia.”
“Mustahak untuk dinyatakan yang, walaupun wujud keterangan bercanggah daripada kerajaan Malaysia, AS masih belum membuktikan kesnya berkaitan Equanimity.
“AS hanya memfailkan pertuduhan tidak terbukti dalam prosiding mahkamah, selepas itu AS menangguhkan keseluruhan kes disebabkan bantahan pihak menuntut. Kesannya tidak ada pihak mampu bertindak secara menyeluruh terhadap pertuduhan tersebut, malah AS juga masih tidak dihendaki membuktikannya (yang Equanimity dibeli dengan wang haram),” tambahnya.

Jurucakap juga berkata rampasan dilakukan Malaysia terhadap Equanimity dan “hasrat jelas untuk menjualnya serta merta bertentangan dengan kepentingan kapal dan akan terus mengurangkan - malah, sudahpun mengurangkan- potensi nilai jualan.”
Pemilik berkata “tindakan tanpa asas, berniat buruk dan tergesa-gesa” kerajaan Malaysia menyebabkan kapal itu beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu menggunakan kuasa jentera “yang tidak lestari dan beri kesan buruk kepada kapal”.
“Tambahan lagi, Malaysia buat masa sekarang menambat kapal tersebut di persekitaran merbahaya di mana toksin seperti pencemaran air dan asap berhampiran (boleh) merosakkannya.
“Kerana Malaysia nampaknya tidak ada- atau tidak mahu berbelanja- peruntukan yang diperlukan untuk menyelia kapal itu dengan baik ketika ia bersiap sedia bagi jualan bernilai maksimum, sebaliknya Malaysia mencadangkan ‘jualan kilat’, yang mana kapal itu mahu dijual dengan harga lebih rendah berbanding nilai sebenarnya,” kata jurucakap itu lagi. – 24 Ogos, 2018.
Komen