Equanimity akan dijual secepat mungkin, kata Peguam Negara 


Bede Hong

Kapal pesiar mewah Equanimity yang didakwa dibeli oleh ahli perniagaan dari Pulau Pinang Jho Low menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB kini berada di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2018

KERAJAAN akan menjual kapal pesiar mewah Equinimity dalam tempoh tiga ke empat bulan sekiranya tiada sesiapa yang berjaya mempertahankan pemilikannya di Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur, kata Peguam Negara Tommy Thomas. 

“Sekiranya tiada siapa pertahankan, ia (proses mahkamah) sangat pantas,” kata Thomas kepada pemberita selepas Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini. 

Thomas berkata, kapal bernilai RM1 bilion itu akan dijual “secara telus” bagi “menukarkan aset daripada kapal kepada wang”.

Beliau berkata, Low dialu-alukan untuk mempertahankan pemilikan di mahkamah admiralti di sini, di mana “kepentingan terkumpul dan akaun” pergi kepada pemenang saman sivil.

“Dalam banyak cara, kami ingin dia melantik seorang peguam perkapalan,” katanya.

Katanya, hasil jualan kapal berkenaan, yang dirampas di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla), akan diletakkan dalam akaun amanah deposit tetap.

Tambah Thomas, beliau tidak menjangkakan akaun amanah akan dibuka “lebih lama kemudian”.

Di bawah Amla, pendakwaraya awam boleh merampas harta yang didakwa milik mereka yang terlibat dengan kesalahan pengubahan wang haram. 

Thomas berkata, pendakwaraya menggunakan undang-undang admiralti dalam merampas kapal berkenaan kerana ia universal. Beliau turut mempertahankan tindakan kerajaan untuk menjual kapal berkenaan secepat mungkin. 

“Tiada negara berdaulat yang mahukan kapal semewah itu.”

Putrajaya mengeluarkan waran tangkap pada Jun terhadap ahli perniagaan yang berasal dari Pulau Pinang Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang didakwa mencuri berbilion ringgit daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Kapal Equanimity tiba di perairan Malaysia pada jam 12.40 petang hari ini. 

Pada Sabtu, kerajaan Indonesia dilaporkan bersetuju untuk menyerahkan kapal berkenaan kepada Malaysia. 

Pihak berkuasa Indonesia menyita kapal Equanimity di Bali pada Februari lalu atas permintaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, yang turut menjalankan siasatan terhadap penipuan dan penyelewengan dalam 1MDB. – 14 Ogos, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen