Kelangsungan Pakatan selepas 100 Hari


Awang Azman Awang Pawi

SERATUS hari pentadbiran Pakatan Harapan telah berakhir. Idea 100 hari ini pertama kali berlaku dalam sejarah politik Amerika Syarikat apabila Franklin D. Roosevelt menyampaikan inisiatif kepada pihak Kongres pada tahun 1933 untuk menangani kemeseletan ekonomi yang melanda Amerika Syarikat sejak 1929. 

Roosevelt menjadi presiden selepas 4 tahun suasana ekonomi Amerika mengalami kemelesetan khususnya apabila pasaran saham jatuh, penggangguran meningkat sehingga lebih 600 peratus, perdagangan luar merosot teruk hingga 70 peratus, pengeluaran industri  pula jatuh merudum hampir separuh daripada sebelumnya.

Justeru, ucapan 100 hari pemerintahan oleh presiden adalah untuk mengembalikan keyakinan rakyat agar kembali bekerja dengan lebih kuat, mencipta kemakmuran, menyediakan kemudahan kepada golongan sasaran yang memerlukan dan akhirnya untuk memulihkan industri dan pertanian.  

Pada masa yang sama, ucapan 100 hari Presiden Amerika itu merupakan suatu simbol pemerintahan baharu, yang mengungkapkan pencapaian-pencapaian untuk mengukur kejayaan dalam tempoh tersebut sambil mengemukakan cabaran dan hala tuju pentadbiran baharu.

Ada pelbagai reaksi apabila Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan menyampaikan ucapan 100 hari yang disiarkan di televisyen. 

Pertama, sebahagian besar rakyat Malaysia mengetahui sebahagian besar janji 10 perkara dalam tempoh 100 pemerintahan Pakatan Harapan tidak dapat ditunaikan. Aspek-aspek kegagalan tersebut diakui sendiri oleh kepimpinan Pakatan Harapan sebelum 100 hari lagi.  

Malah ketika pilihan raya kecil Sungai Kandis, isu kegagalan 10 janji dalam 100 hari PH diketengahkan walaupun tidak dijadikan isu besar oleh BN. Isu kegagalan memenuhi janji manifesto ini juga memenuhi ruang media sosial.

Kedua, terdapat persepsi umum bahawa misi pada pilihan raya umum bagi pengundi ialah untuk memastikan kepimpinan perdana menteri terdahulu Najib Razak tidak lagi menjadi perdana menteri. Hal ini kerana isu GST dan 1MDB dilihat isu utama yang menyebabkan krisis kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Najib. 

Bagi sesetengah pengundi, tanpa Najib maka tidak timbul pengenalan GST dan isu 1MDB yang sering dipertahankan oleh Najib, ahli kabinetnya, Umno dan komponen BN. Ketua-ketua bahagian Umno, ketua Pemuda Umno, ketua Wanita Umno dan segala macam kepimpinan yang ada dalam Umno ketika itu mempertahankan isu 1MDB dan hanya segelintir yang berani bertindak bersuara yang menyebabkan mereka dipecat.

Justeru, Pakatan Harapan yang dilihat gagal menunaikan 10 janji manisfesto dalam tempoh 100 hari tidaklah menjadi isu besar atau diperbesarkan kerana jangkaan dan pendedahan awal dalam tempoh tersebut menyebabkan rakyat sudah bersedia menerima kegagalan tersebut. 

Hal ini ditambah dengan momentum rakyat yang mengubah kerajaan 61 tahun yang dibelenggu pelbagai isu setelah sekian lama BN memerintah. Lebih-lebih lagi pada akhir hayatnya, persepsi isu skandal besar 1MDB dan Felda menjadi perhatian besar. GST dilihat menyusahkan rakyat kerana semua rakyat membayar GST dan tidak semua mendapat BRIM untuk menampung keperluan harian.

Survival Pakatan Harapan

Pakatan Harapan tidak boleh bergantung kepada isu menyalahkan kerajaan terdahulu semata-mata untuk apa-apa yang tidak mampu ia laksanakan kepada rakyat selepas tempoh 100 hari. Sebaliknya, terus bergerak ke depan untuk membawa pembaharuan dan pembaikan untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat lebih dirasai di peringkat akar umbi. 

Apalah erti perubahan yang dilakukan oleh rakyat pada pilihan raya umum lepas, sekiranya kehidupan rakyat tidak ada perbezaan daripada kehidupan ketika zaman Barisan Nasional memerintah sebelum ini.

Terdapat tiga golongan penyokong Pakatan Harapan. Yang pertama ialah penyokong tegar PH. Golongan ini sama seperti penyokong tegar Umno. Apa-apa pun isu, kritikan, kelemahan yang berlaku dalam parti komponen Pakatan Harapan atau kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan mereka tetap menyokong Pakatan Harapan. Golongan ini sudah lama menyokong gerakan kepembangkangan sejak zaman reformasi 1998, sehinggalah kini.

Ada juga pengundi tegar Pakatan Harapan terdiri daripada pengundi Cina yang hanya sekitar kurang 7 peratus sahaja menyokong Barisan Nasional. Golongan inilah yang tidak berganjak meskipun dihujani dengan pelbagai kritikan kelemahan Pakatan Harapan.

Golongan kedua ialah pengundi atas pagar yang sebelum ini membuat  keputusan untuk memilih Pakatan Harapan apabila diyakinkan dengan pelbagai janji-janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan. Golongan ini tertarik dengan manifesto yang dilihat lebih baik daripada manifesto Barisan Nasional. Manifesto Pakatan Harapan menarik walaupun bersifat populis dan sukar dilaksanakan namun tidak mustahil ia akan dilaksanakan.

Harapan yang diberikan oleh PH sungguh menggunung namun berjaya menarik undi atas pagar. Golongan inilah yang membantu menyumbang jumlah  keluar mengundi sebanyak 82.2 peratus yang keluar mengundi. Namun terdapat yang masih ragu-ragu dan tidak keluar mengundi.

Golongan ketiga pula ialah ahli BN khususnya dalam Umno sendiri yang membuat keputusan mengundi Pakatan Harapan sebagai protes kepada kepimpinan Najib Tun Razak, 1MDB dan GST. Daripada kerja lapangan penulis, terdapat ahli Umno yang mengaku akan memilih Umno semula pada pilihan raya akan datang selepas Najib berundur. Kemarahan mereka terhadap parti bersifat sementara.

Golongan ini mewakili 13.5 peratus ahli BN sama ada turun mengundi PH atau protes dengan tidak mengundi. Terdapat  kemerosotan  jumlah yang turun mengundi iaitu kemerosotan sekitar  2 peratus pada PRU baru-baru ini.  Undi popular BN jatuh sekitar 13.5 peratus manakala undi popular Pakatan Harapan meningkat 11 peratus disebabkan oleh faktor undi golongan kedua dan ketiga.

Ini bermakna Pakatan Harapan perlu peka akan kewujudan dua golongan ini yang menyokong PH bersifat sementara. Sekiranya, dua golongan ini tidak diberikan perhatian oleh pihak PH maka, dengan anjakan undi sekitar 11 peratus, Pakatan Harapan boleh tumbang pada pilihan raya akan datang. Kebanyakan golongan ini terdiri daripada undi Melayu.

Maka isu-isu berkaitan dengan sensitiviti orang Melayu seperti yang berkaitan dengan soal bahasa, kepentingan dan hak-hak keistimewaan orang Melayu, hal-hal berkaitan agama Islam, institusi raja perlu semakin diperkukuhkan dan bukannya sebaliknya.

Ketika ini pelbagai isu seumpama ini berkumandang seolah-olah kurangnya keprihatinan Pakatan Harapan dalam menangani isu tersebut. Sekiranya membiarkan persepsi sedemikian membelenggu minda Melayu yang merupakan golongan majoriti di negara ini  maka ini tidak baik untuk masa depan Pakatan Harapan.

Namun pengumuman Kementerian Hal Ehwal Ekonomi  untuk menganjurkan Kongres Masa Depan Bumiputera Negara pada 1 September nanti sedikit sebanyak mengikis persepsi Pakatan Harapan tidak prihatin dengan isu ekonomi Melayu dan bumiputera. Moga-moga ini antara langkah awal daripada pelbagai usaha lagi  untuk mengukuhkan keyakinan  masyarakat Melayu terhadap kerajaan Pakatan Harapan. – 19 Ogos, 2018


* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen