Dalam desakan minta Najib jauhkan diri, 2 veteran Umno tawar sokongan


Melati A. Jalil

Tajuddin Abdul Rahman dan Tengku Razaleigh Hamzah berkata Najib Razak masih ahli Parlimen Pekan dan berhak bersuara tentang isu negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2018.

DUA veteran Umno menyatakan sokongan kepada Najib Razak walaupun wujud desakan pemimpin tertentu supaya bekas presiden itu menjarakkan diri dari Umno.

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman berkata walaupun pertuduhan korupsi dihadapi Najib yang juga anak perdana menteri Malaysia kedua itu, beliau bukanlah beban kepada parti.

“Tak adil untuk meninggalkannya selaku bekas ketua dan masih lagi ahli parti. Anda hendak tinggalkan dia hanya kerana persepsi dan dakwaan (terhadapnya)?

“Masih belum terbukti beliau bersalah, jika beliau didapati bersalah, ya kita ada alasan kukuh untuk fikir beliau beban, tetapi beliau mangsa persepsi,” katanya kepada wartawan di Parlimen hari ini.

Katanya lagi, sangat tidak berpendirian untuk mengabaikan bekas ketua parti semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

“Jika beliau didapati bersalah, barulah kita boleh mintanya berehat dan jangan jadi beban kepada parti tetapi kita perlu tunggu, tidak adil untuk tinggalkan beliau sekarang,” katanya.

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam berkata Najib perlu menjauhkan diri dari Umno, sementara bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula berkata kepimpinan parti di bawah Ahmad Zahid Hamidi perlu diberi peluang menjalankan tugas mereka serta membina hala tuju baharu parti.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan empat pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan skandal SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula berkata Najib tidak boleh dihalang daripada bercakap soal isu negara kerana beliau masih ahli Parlimen Pekan.

“Walaupun beliau tidak ada jawatan, beliau masih boleh beri pandangan kerana beliau ahli Parlimen Pekan.

“Saya tak mempertahankan sesiapa, beliau bertanding dan dipilih sebagai wakil rakyat. Beliau ada hak untuk bersuara dan kita tak boleh halang,” katanya.

Selepas Umno dan Barisan Nasional kalah pilihan raya umum Mei lalu, Najib berundur sebagai presiden Umno dan semua jawatan dalam BN. Walaupun begitu, beliau kekal aktif dalam parti malah turun berkempen untuk BN pada PRK Sungai Kandis baru-baru ini. – 15 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen