Khairy setuju Najib perlu jauhkan diri daripada Umno


Yasmin Ramlan

Bekas menteri Khairy Jamaluddin bersetuju dengan pandangan bekas menteri Umno, Mohamed Nazri Aziz semalam bahawa bekas presiden parti Najib Razak perlu menjauhkan dirinya daripada parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2018.

KHAIRY Jamaluddin bersetuju dengan pandangan bekas menteri Umno, Mohamed Nazri Aziz semalam bahawa bekas presiden parti Najib Razak perlu menjauhkan dirinya daripada parti.

Khairy yang juga bekas menteri dalam Kabinet Najib berkata, pemimpin baharu dalam parti Melayu itu sewajarnya diberi peluang dalam menentukan hala tuju Umno.

“Ini pandangan sesetengah (pemimpin dalam) Umno, bekas pemimpin perlulah memberi ruang yang sepenuhnya kepada pemimpin yang baru untuk menjalankan tugas dan mencorakkan hala tuju yang baru.

“Saya setuju pemimpin baru dalam Umno perlu diberi ruang yang sepenuhnya untuk meletakkan hala tuju yang baru.

“Sebab itulah bekas presiden mesti beri ruang dan bekas calon presiden juga patut bagi ruang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nazri semalam yang berkata Najib perlu menjauhkan dirinya daripada parti memandangkan dakwaan penyelewengan bekas perdana menteri itu akan mencemarkan imej parti.

Nazri berkata, sekiranya Najib menjauhkan dirinya dari Umno, ia akan memberi peluang kepada presiden parti Ahmad Zahid Hamidi untuk menerajui parti.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menyatakan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad dan tindakan Putrajaya berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Katanya, beliau mengubah sokongan kerana mendakwa tidak tahu mengenai barang kemas milik isteri Najib, Rosmah, dan juga kes penyelewengan melibatkan SRC International yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Katanya, Dr Mahathir perlu diberi ruang untuk menyiasat kes tersebut.

Sementara itu, Khairy dalam kenyataan hari ini turut mengulas pengumuman Umno Sabah untuk menyertai gabungan pembangkang baharu Parti Gabungan Bersatu Sabah (PGBS).

Katanya beliau berharap Umno Sabah terus kekal bersama parti itu dan Barisan Nasional (BN) walaupun selepas menyertai blok pembangkang baharu di negeri berkenaan.

Beliau berkata, penyertaan Umno Sabah dalam PGBS tidak bermakna Umno Sabah keluar daripada BN.

“Mungkin gabungan ini satu platform untuk mengusahakan isu yang berkaitan dengan Sabah tapi tak bermaksud Umno Sabah perlu keluar daripada Umno,” katanya.

Ketua Umno Sabah Hajiji Noor dilaporkan berkata, keputusan tersebut dibuat memandangkan parti komponen BN negeri keluar daripada gabungan parti itu selepas pilihan raya umum 9 Mei. – 15 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen