Najib perlu jauhkan diri dari Umno, kata Nazri Aziz 


Melati A. Jalil

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz berkata Najib perlu memberi ruang kepada Ahmad Zahid Hamidi untuk menerajui parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2018

BEKAS presiden Umno Najib Razak perlu jauhkan dirinya daripada parti, kata Mohamed Nazri Abdul Aziz, dan menambah dakwaan penyelewengan Najib akan mencemarkan imej parti.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, sekiranya bekas perdana menteri itu menjauhkan dirinya dari Umno, ia akan memberi peluang kepada presiden parti Ahmad Zahid Hamidi untuk menerajui parti.

“Ia agak sukar kerana beliau ketua kita sebelum ini, tetapi beliau perlu faham, beliau perlu ikut apa yang Dr Mahathir buat (ketika meletakkan jawatan sebagai perdana menteri), beliau tidak perlu tunggu untuk kita cakap.

“Umno tak berdosa, dakwaan dibuat ke atas beliau, bukan parti dan selagi ia tiada pengasingan, ia bermakna parti akan menerima kesan dan sukar untuk kami teruskan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Bekas menteri pelancongan, kesenian dan kebudayaan itu berkata, isu kesetiaan kepada seorang pemimpin tidak sepatutnya timbul kerana kesetiaan ahli parti sepatutnya kepada Umno.

“Susah kalau beliau tidak biarkan kita bebas, kita masih di bawah bayangannya jadi beliau perlu faham dan ikut apa yang Dr Mahathir dan Pak Lah lakukan sebelum ini,” katanya.

Pada 8 Ogos lalu, Najib menerima tiga lagi pendakwaan pengubahan wang haram, berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Beliau berdepan tujuh pendakwaan setakat ini. Empat dakwaan terdahulu adalah tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa. Semua pendakwaan setakat ini adalah berkaitan SRC International.

Walaupun Najib meletakkan jawatan sebagai presiden Umno berikutan kekalahan mengejut Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14, beliau masih kekal aktif dalam parti malah turut berkempen untuk calon Umno dan BN pada pilihan raya kecil Sungai Kandis baru-baru ini.

Nazri berkata, pendahulu Najib, Dr Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi menjauhkan diri mereka daripada parti apabila meletakkan jawatan sebagai pemimpin Umno.

“Saya percaya kedua-dua Dr Mahathir dan Pak Lah sangat sayangkan parti, itu sebabnya mereka menjauhkan diri daripada parti kerana bimbang dengan apa sahaja stigma masyarakat yang boleh memberi kesan kepada parti.

“Najib juga sepatutnya melakukan perkara yang sama sekiranya beliau sayangkan parti,” katanya.

Sebeum Nazri, setiausaha agung Umno, Annuar Musa berkata parti itu perlu memutuskan ikatan dengan bekas presiden dan memfokuskan untuk membina semula parti.

Dr Mahathir kali pertama meninggalkan Umno selepas isu perkauman pada 1969, selepas beliau mengutuskan surat mengkritik kepimpinan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman namun diterima semula oleh parti pada 1972 oleh Razak Hussein.

Beliau kemudiannya meninggalkan parti pada 2008, yang merupakan kemuncak kepada kekecewaannya terhadap penggantinya Abdullah Badawi.

Dr Mahathir kembali menyertai Umno pada 2009, selepas Abdullah meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Perdana Menteri Najib Razak, hanya kecewa dengan Najib dan meninggalkan parti pada 2016. – 14 Ogos, 2018
 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen