Graduan kejuruteraan dan peluang kerja


Zaidel Baharuddin

1945 GUGURNYA dua buah bom atom di bandar Hiroshima dan Nagasaki, menandakan kekalahan empayar Jepun dan berakhirnya Perang Dunia Kedua. Kedua-dua kuasa utama axis, Jepun dan Jerman yang bukan sahaja kehilangan sejumlah besar generasi muda yang dikorbankan di medan perang, tetapi lebih dari itu segala kuasa yang mereka ada disekat dan dibahagi-bahagi antara pemenang ketika itu.

Namun genap 10 tahun selepas jatuhnya bom nuklear yang menghapuskan dua bandar perindustrian Jepun, sebuah syarikat yang berpengkalan di Tokyo, Tokyo Tsushin Kogyo, mengeluarkan radio model T55, radio transistor pertama buatan Jepun.

Ini merupakan antara titik permulaan penguasaan Jepun dalam bidang elektronik, kerana sejurus selepas kejayaan menghasilkan radio transistor komersil pertama buatan tempatan sepenuhnya, Tokyo Tsushin Kogyo telah bertukar nama kepada Sony.

Kisah ini tidak unik untuk Jepun sahaja. Jerman sebuah lagi kuasa axis yang tumbang dan dipecahkan dua melalui tembok bandar Berlin menjadi tempat kelahiran kereta dan kenderaan berkualiti tinggi, syarikat kenderaan Porsche yang dahulunya menghasilkan kereta kebal lagenda ‘Panzerkamfwagen Tiger Ausf E’ atau ‘Tiger 1’ kemudiannya menghasilkan model kereta 911 yang berstatus lagenda di kalangan penggila kereta mewah.

Ini menunjukkan bahawa kekayaan sebenar sesebuah negara itu bukanlah terletak pada hasil bumi, besarnya tanah jajahan atau ramainya penduduk, tetapi pada kebolehan, ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk mereka membina dan membuat sesuatu perkara atau barangan, yakni penguasaan terhadap disiplin kejuruteraan.

Cuba anda tanya pada diri anda, Jepun yang kini merupakan kuasa ekonomi gergasi dunia dan Jerman negara terkaya dalam kesatuan Eropah, apakah hasil bumi yang ada di kedua-dua negara ini?

Menyedari akan perkara ini, Malaysia sejak dari tahun 70an sudah mula mengorak langkah dalam melahirkan graduan kejuruteraan melalui universiti-universiti tempatan seperti Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Sewaktu pembangunan ekonomi yang pesat era 90an melalui kemasukan industri pengilangan dan pertumbuhan ekonomi berasaskan hidrokarbon pada awal 2000, Malaysia banyak menubuhkan institusi bagi menghasilkan graduan kejuruteraan untuk pasaran pekerjaan.

Saya masih ingat dahulu sewaktu saya belajar bagaimana rakan-rakan sekelas saya bercita-cita untuk memasuki industri minyak dan gas hinggakan ianya menjadi ayat mengorat (pick-up line) di tempat berkumpulnya muda-mudi untuk menyatakan bahawa anda bekerja di sektor ‘oil and gas and offshore’.

Namun, era perindustrian berskala besar nampaknya seperti sudah sampai ke penghujungnya di Malaysia. Kini dengan kejatuhan harga minyak dari purata USD$100 setong ke bawah USD$50, penawaran peluang pekerjaan dalam sektor minyak dan gas semakin berkurangan. Sektor pengilangan juga sudah semakin kurang rancaknya apabila syarikat-syarikat gergasi luar sudah mula memindahkan industri dan kilang mereka ke negara-negara lain yang mempunyai kos operasi yang lebih murah dan pasaran yang lebih besar seperti Vietnam dan China.

Kita juga melihat bagaimana syrikat-syarikat perindustrian Malaysia yang ditubuhkan oleh kerajaan sudah berubah. Sime Darby kini nampaknya lebih berminat ke arah menjual rumah (persepsi barangkali), Perwaja yang sepatutnya menghasilkan besi keluli untuk negara telah lama berkubur dan dengan kurang penekanan terhadap barangan buatan Malaysia dalam projek gergasi negara, banyak syarikat-syarikat berasaskan kejuruteraan dan perindustrian negara semakin kurang gahnya.

Banyak syarikat-syarikat GLC sudah lebih berminat untuk berpindah ke sektor perkhidmatan berbanding dengan pembuatan kerana ianya lebih mudah, murah dan mendapat kelebihan monopoli berbanding untuk membelanjakan wang untuk R&D atau menghadapi risiko persaingan pasaran. Mereka lebih berminat untuk mengimport barang dari luar, menukar logo dan menjualnya semula di dalam pasaran tempatan.

Namun pada masa yang sama, institusi-institusi yang menghasilkan graduan kejuruteraan masih lagi terus beroperasi malah dengan kadar yang lebih tinggi dari era 90an. Dari universiti-universiti awam, universiti swasta, kolej universiti dan institut kejuruteraan, jumlah graduan kejuruteraan yang memasuki pasaran semakin meningkat. Timbul persoalan di sini, sekiranya kita tidak membina industri yang baru, di manakah mereka ini akan bekerja? Apakah wajar untuk menghantar mereka ini menjual nasi lemak, memandu Uber dan Grab, atau menjual insuran dan menjadi ahli MLM semata-mata?

Kurang nampak usaha dalam negara kita untuk menceburi dalam bidang teknologi baru yang sedang membangun, contohnya bidang tenaga hijau seperti solar. Kita masih terus terikat dengan kaedah lama penjanaan kuasa yang bukan sahaja tidak mesra kepada alam sekitar tetapi juga tidak menghasilkan peluang pekerjaan yang baru.

Carta dan graf yang berwarna-warni dengan nama-nama inisiatif yang kreatif seperti ETP dan GTP memanglah mempunyai tarikan tersendiri, dan dasar yang dirangka di atas nama-nama ini mempunyai hasrat dan niat dan murni, namun sekiranya ia tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk pembentukan industri baru atau melahirkan peluang pekerjaan, saya fikir dalam jangka masa panjang mungkin sukar untuk kita melepasi jurang negara berpendapatan tinggi.

Kini kita ada segolongan anak-anak muda yang telah dijanjikan pelbagai impian apabila mereka memegang segulung ijazah kejuruteraan dan mereka melihat bahawa realiti tidak seindah seperti yang dikatakan.

Kebolehan menguasai kalkulus, ilmu statik dan termodinamik atau menguasai ilmu kiraan dan rekabentuk yang tepat lagi jitu tidak menjanjikan masa depan yang baik. Mereka dipaksa bekerja dalam sektor perkhidmatan yang langsung tidak menggunakan manfaat ilmu-ilmu rumit yang mereka pelajari dan pada masa yang sama terbuai dengan impian kemewahan serta kekayaan di instagram oleh anak-anak muda lain yang tidak dapat menerangkan apakah sumber kekayaan mereka.

Kini timbulnya segolongan anak muda yang marah, yang sedang menuntut janji mereka bahawa pendidikan tinggi sepatutnya menjanjikan kehidupan yang lebih baik. Sesungguhnya demi masa depan yang baik, untuk mencapati status negara maju, bukan sekadar cukup untuk mempunyai prasarana dan kemudahan yang bertaraf tinggi, tetapi kita juga perlu mempunyai kemahiran dalam membina dan membuat prasarana dan kemudahan yang kita impikan itu. – 27 Julai, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen