Selepas diugut bunuh, aktivis Nisha Ayub bimbang keselamatan komuniti transgender


Melati A. Jalil

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa dan aktivis transgender Nisha Ayub ketika mengadakan pertemuan di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Ogos, 2018

AKTIVIS transgender Malaysia Nisha Ayub, yang potretnya diturunkan daripada pameran fotografi di Festival George Town 2018 berkata, beliau tidak tahu mengenai pameran itu dan penggunaan gambarnya. 

Katanya, gambar itu diambil tahun lalu sempena sambutan Merdeka yang ke 60 tahun dan hanya tahu mengenainya selepas ditag pada Facebook. 

“Tak mengapa gambar saya diturunkan, ia bukan satu perkara besar bagi saya. Saya cuma bimbang satu impak daripada keseluruhan senario ini, iaitu kebencian (terhadap komuniti transgender) kerana ramai yang menghantar mesej kebencian dan ancaman bunuh. 

“Sejujurnya bagi saya penurunan gambar itu buakn lagi satu isu besar kerana kebimbangan saya ialah tentang keselamatan komuniti transgender,” katanya kepada pemberita pada satuu sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Islam, Mujahid Yusof Rawa. 

Walaupun tidak tahu penggunaan gambarnya ada pameran berkenaan, Nisha bagaimanapun berkata beliau faham jurugambar berkenaan berhak untuk gunakan gambarnya. 

Potret Nisha dan Pang Khee Teik diturunkan daripada pameran fotgrafi pada festival yang sedang berlangsung sehingga September itu. 

Diadakan sempena bulan Kemerdekaan, tema pameran berkenaan ‘Strokes and Stripes’, yang sepatutnya menggambarkan semangat patriotisme pelbagai individu yang terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia. 

Turut dipamerkan adalah potret veteran DAP Lim Kit Siang, peguam dan aktivis, Siti Kasim dan aktivis Marina Mahathir. Mujahid mengarahkan gambar berkenaan diturunkan selepas menerima aduan. 

Nisha yang memuji tindakan mujahid untuk bertemu dengannya berkata, beliau bukan memperjuangkan gambarnya untuk dinaikkan kerana kebimbangan utamanya adalah penerimaan awam terhadap komunitinya. 

“Saya perlu meletakkan komuniti saya sebagai keutamaan, saya melihat kepada gambaran besar komuniti saya,” katanya dan menambah beliau merupakan peguam bela kepada komuniti transgender, bukan aktivis LGBT. 

Mujahid yang turut hadir pada sidang media itu, tetap dengan pendirian arahan asalnya, dan mengatakan penganjur sepatutnya mengkaji latar belakang Nisha kerana beliau merupakan peguam bela transgender dan bukan aktivis komuniti LGBT.  

“Ia sangat tidak perlu dengan apa yang anda (penganjur) lakukan. Saya mengambil sikap itu untuk melindungi keselamatan orang-orang ini yang akan menerima tindak balas, bayangkan jika ia berada di sana selama sebulan.

“Pada saya penganjur yang patut dipersalahkan. Kamu tidak boleh letakkan gambar seseorang tanpa mengetahui maklumat tentang mereka dan melabel seseorang yang bukan daripada aktivis berkenaan,” katanya. – 10 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen