UMNO tidak boleh melaksanakan pembaharuan jika Najib Razak terus terlibat dalam hal ehwal parti, kata Naib Presiden Umno Khaled Nordin.
Kenyataan terbaru Khaled adalah susulan kenyataan terbuka bekas ahli Parlimen Tititwangsa, Johari Abdul Ghani semalam yang menggesa Najib tidak lagi dibenarkan terlibat berkempen untuk Umno dan Barisan Nasional. Ini bagi menghapuskan kaitan persepsi korupsi Najib dengan Umno-BN.
Khaled, dalam kenyataan hari ini mengulangi sentimen sama, berkata:
“Ini bukan soal Najib Razak jadi tumpuan, ini adalah lebih besar daripada apa yang dilakukannya, atau yang dituduh dilakukannya, persepsi membelenggu tuduhan ini dan apa kesannya kepada parti.
“Ini adalah soal kelangsungan Umno, selaku institusi Orang Melayu dan sepatutnya juga institusi Malaysia,” kata Khaled.
Khaled adalah pemimpin ketiga yang menyuarakan perlunya Umno menjarakkan diri daripada Najib. Selain Johari, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa turut mendesak parti itu memutuskan semua ikatan dengan Najib.
Khaled dalam kenyataan hari ini turut menyentuh realiti semasa didepani Umno yang perlukan penelitian mendalam, terutama sekali berkenaan naratif politik yang digunakan dan dipercayai Umno selama ini tetapi sudah ditolak rakyat.
“Kita bukan lagi kerajaan, dan kita tidak ada lagi kelebihan untuk berkata dengan yakin yang ada orang Melayu masih menyokong kita,” katanya.
Beliau menambah, walaupun ada orang Umno berpendapat parti Melayu itu masih ada sokongan 46% undi Melayu, beliau menyeru supaya gambaran Malaysia secara keseluruhan diambil kira.
“Kita perlu memenuhi (kehendak) semua orang Melayu, bandar dan luar bandar, dan yang paling penting rakyat Malaysia keseluruhannya.”
Khaled yang juga bekas menteri besar Johor turut mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam yang mahukan Najib terus dihormati.
“Ya, kita perlu layan dia dengan hormat. Tetapi kita juga perlu bergerak ke depan meninggalkan apa yang sudah berlaku. Najib Razak yang sedang dibicarakan, bukan Umno.” – 9 Ogos, 2018.
Komen