Jangan biarkan Najib berkempen untuk PRK, kata pemimpin Umno


Najib Razak yang berdepan pertuduhan korupsi, pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram tidak sepatutnya dibenarkan berkempen untuk Umno dan Barisan Nasional kerana ia boleh mempengaruhi persepsi rakyat terhadap integriti parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Ogos, 2018.

TERPALIT dengan pertuduhan korupsi dan pengubahan wang haram, Najib Razak sepatutnya tidak dibenarkan berkempen untuk Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil akan datang, kata bekas menteri Johari Abdul Ghani.

Bekas ahli Parlimen Titiwangsa itu mempersoalkan keputusan parti membenarkan Najib berkempen pada PRK Sungai Kandis baru-baru ini yang menyaksikan BN kalah dengan majoriti hampir 6,000.

Katanya, membenarkan Najib yang berdepan pertuduhan mahkamah dan terpalit dengan skandal terus berkempen untuk Umno adalah langkah yang tidak bijak.

“Memandangkan kes mahkamah Najib masih belum lagi di bicarakan dan mengambil kira persepsi korupsi dan pecah amanah yang masih lagi membelengungi beliau, apakah strategi Umno dalam mempertengahkan Najib sebagai salah seorang tokoh yang aktif berkempen bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini suatu strategi yang bijak?

“Perlukah Umno merehatkan Najib dari menyertai kempen-kempen pilihanraya akan datang? Kita perlu ingat bahawa Umno bukan berkempen untuk ahli-ahlinya sahaja tetapi kepada pengundi Sungai Kandis yang mana soal persepsi boleh menentukan kalah menang seseorang calon,” kata Johari dalam satu kenyataan hari ini.

Dua lagi PRK akan diadakan di Selangor iaitu di Seri Setia dan Balakaong pada 8 September depan selepas tempoh berkempen 21 hari.

Johari yang juga ketua bahagian Umno Titiwangsa bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno pada Jun lalu tetapi kalah.

PRK Sungai Kandis di Selangor diadakan 4 Ogos lalu dengan tempoh berkempen 14 hari, Najib hadir dua hari untuk memberi sokongan kepada calon BN, Lokman Noor Adam.

Najib menemani Lokman dalam sesi bertemu rakyat dan meraih undi, serta bersolat di masjid dan melawat penduduk yang sakit di kawasan itu.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu tidak kelihatan pada ceramah malam 25 Julai walaupun dijadualkan akan berucap.

Di Sungai Kandis, BN meraih kurang 2,000 undi berbanding pilihan raya umum 9 Mei lalu. Tetapi PRK Sungai Kandis menyaksikan jumlah keluar mengundi yang sangat rendah iaitu 49.4%.

Najib pagi tadi dikenakan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya daripada bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad.

Pertuduhan terbaru itu adalah tambahan kepada empat pertuduhan awal dikenakan Julai lalu- tiga kerana kesalahan pecah amanah dan satu kerana salah guna kuasa.

Johari berkata ada sebilangan pihak dalam Umno merasakan Najib boleh dibenarkan aktif dalam parti, memandangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada DAP juga masih aktif walaupun berdepan pertuduhan korupsi.

Johari membantah pandangan itu, berpendapat Umno perlu mempunyai standardnya sendiri bagi menunjukkan intergriti lebih tinggi bagi meraih keyakinan rakyat.

“Pendirian saya kita tidak perlu mencontohi DAP. Umno mempunyai benchmark nya yang tersendiri dan kita perlu menjadikan ini sebagai suatu titik mula untuk mencipta suatu benchmark baharu yang mana Umno mengutamakan integriti dan kredibiliti pemimpinnya sebagai agenda yang penting dalam perjuangan.

“Kita perlu letakkan benchmark ini kepada setiap pemimpin bagi memulangkan keyakinan pengundi bahawa Umno adalah sebuah parti yang mempunyai benchmark yang tinggi mengatasi DAP,” katanya.

Lim berdepan pertuduhan korupsi dalam kes pembelian sebuah banglow dua tahun lalu di Pulau Pinang ketika menjadi ketua negeri serta terlibat dalam sebuah lagi kes berkaitan pemindahan status tanah di negeri itu.

Setiausaha agung DAP itu sedang berusaha mengugurkan pertuduhan itu kerana disifatkan “pendakwaan politik”. Kesnya akan didengar 3 September depan untuk keputusan Jabatan Peguam Negara sama ada akan meneruskan atau mengugurkan kes tersebut. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen