Mujahid akui arah potret aktivis LGBT diturunkan


Yasmin Ramlan

Menteri Hal Ehwal Agama Dr Mujahid Yusof Rawa berkata promosi yang menonjolkan potret aktivis berkenaan bertentangan dengan polisi Pakatan Harapan berhubung isu LGBT. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2018.

MENTERI Hal Ehwal Agama Dr Mujahid Yusof Rawa mengakui mengarahkan agar potret aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di festival pameran fotografi di Festival George Town diturunkan.

Menurut Mujahid, promosi yang menonjolkan potret aktivis berkenaan bertentangan dengan polisi Pakatan Harapan berhubung isu LGBT. 

“Jadi untuk menghormati polisi,” katanya yang menambah gambar bersama simbol dan label “aktivis LGBT” itu merupakan promosi kegiatan tersebut.

“Tak kisahlah anda ingin katakan ia promosi untuk ikon merdeka. Adakah perlu ikon sedemikian? Tiada ikon lain (yang boleh  ditampilkan)?

“Jadi, jika saya tidak berkata apa-apa mengenainya, kita dilihat seperti mencabar polisi yang kita katakan beberapa kali sebelum ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mujahid mengulas mengenai dua potret aktivis LGBT yang diturunkan daripada pameran “Stripes and Strokes” di sebuah pameran fotografi yang berlangsung di Festival George Town (GTF) 2018.

Pameran bertemakan patriotisme bersempena sambutan kemerdekaan pada bulan ini menampilkan aktivis Nisha Ayub dan Pang Khee Teik bergambar bersama Jalur Gemilang.

Arahan penurunan potret mereka itu dilaporkan diarahkan oleh kerajaan Persekutuan.

Mujahid berkata, pihaknya menghormati golongan LGBT tetapi tidak bersetuju mempromosi gaya hidup golongan tersebut.

Jelasnya, pihaknya mengesahkan terdahulu dengan kerajaan negeri Pulau Pinang mengenai potret tersebut arahan penurunan itu dikeluarkan.

Beliau juga berkata menerima banyak komen negatif yang mengecam golongan tersebut.

“Dan kebimbangan saya adalah saya tak nak mereka ini disakiti memandangkan mereka dipromosikan.

“Saya takut yang anti (LGBT) ni tak boleh kawal dan akan menyakiti mereka (golongan LGBT),” katanya.

Terdahulu hari ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Farizan Darus menjelaskan bahawa Isnin lalu beliau menerima aduan mengenai potret kedua-dua aktivis berkenaan dan telah meminta pihak penganjur GTF menurunkannya. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen