Tiadakah tempat untuk LGBT di Malaysia baharu, soal aktivis


Dalam potret yang dipamerkan, aktivis Nisha Ayub dan Pang Khee Teik bergambar bersama Jalur Gemilang dengan Pang turut memegang bendera pelangi LGBT. – Gambar Facebook, 8 Ogos, 2018.

ADAKAH ia satu jenayah bagi golongan minoriti seksual untuk menunjukkan patriotisme untuk Malaysia, soal aktivis Nisha Ayub ketika komuniti LGBT kecoh apabila gambar potretnya dan seorang lagi aktivis diarah supaya diturunkan dalam satu pameran fotografi di Festival George Town 2018 di Pulau Pinang.

Gambar potret Nisha dan aktivis Pang Khee Teik, di mana mereka bergambar bersama Jalur Gemilang, diturunkan daripada pameran “Stripes and Strokes” atas arahan pihak tertentu, lapor Malay Mail hari ini.

Penaja pameran itu, Vinod Shekar berkata beliau tidak pernah menjangka perkara seumpama ini berlaku dalam Malaysia baharu di bawah Pakatan Harapan (PH).

Setakat ini tidak jelas kenapa pihak berkuasa mengarahkan potret itu diturunkan.

Nisha menerusi Facebook berkata insiden itu menjadikannya emosional, mengenangkan masa depan Malaysia baharu.

“Ia mesej yang disebarkan kepada umum dan masyarakat terpinggir di Malaysia, yang menyedihkan saya.

“Mereka bercakap tentang hak sebagai rakyat Malaysia tetapi mereka masih menafikan orang seperti saya untuk meluahkan rasa sayang kepada negara sendiri. Apa yang berlaku kepada Malaysia baharu? Inikah apa yang kita, masyarakat terpinggir undi? Mereka bercakap tentang sensitiviti kumpulan tertentu tetapi bagaimana dengan sensitiviti yang lain? Bukankah kita sebahagian daripada sistem?

“Sebagai rakyat Malaysia, saya mahu tahu di mana tempatnya untuk orang seperti saya dalam Malaysia baharu yang kebanyakan daripada kami undi,” kata Nisha, wanita transgender pertama yang menerima Anugerah Keberanian Wanita Antarabangsa pada 2016.

Potret Pang dan Nisha dipamerkan bersama potret beberapa individu terkemuka lain seperti veteran DAP Lim Kit Siang dan peguam Siti Kasim.

Semua gambar itu diambil oleh Mooreyameen Mohamad dan pameran itu berlangsung dari 4 Ogos hingga September di festival seni dan budaya di Pulau Pinang. Ia juga sempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke-61.

Dalam potretnya, Nisha memegang bendera negara sementara Pang bergambar dengan Jalur Gemilang di bahunya sambil memegang bendera pelangi LGBT.

Nisha berkata beliau tidak minta dimasukkan dalam pameran itu tetapi gembira dan bangga apabila terpilih.

“Tapi sekarang saya rasa seperti tidak dikehendaki di tanah air sendiri,” katanya. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen