KERAJAAN negeri Pulau Pinang menghormati komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), tetapi tidak mempromosi mereka, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Farizan Darus.
Menurut Farizan, ini sebab mengapa dua potret aktivis LGBT diturunkan daripada pameran “Stripes and Strokes” di sebuah pameran fotografi yang berlangsung di Festival George Town (GTF) 2018.
Pameran bertemakan patriotisme bersempena sambutan kemerdekaan pada bulan ini menampilkan aktivis Nisha Ayub dan Pang Khee Teik bergambar bersama Jalur Gemilang.
Arahan penurunan potret mereka itu dilaporkan diarahkan oleh kerajaan Persekutuan.
Farizan menjelaskan bahawa Isnin lalu beliau menerima aduan mengenai potret kedua-dua aktivis berkenaan dan telah meminta pihak penganjur GTF menurunkannya.
“Aduan dibuat oleh orang ramai dan Jabatan Perdana Menteri. (Pengarah festival) Joe (Sidek) memberikan kerjasama dan potret itu diturunkan pada pagi semalam.
“Tetapi ini bukan bermaksud kami tidak menghormati kumpulan berkenaan. Kami tidak menggalakkan promosi terbuka (gaya hidup LGBT).
“Anda perlu ingat bahawa pada masa dulu, Pulau Pinang ialah sebuah negeri pembangkang. Sekarang kami perlu ikut kerajaan Persekutuan.”
Farizan juga berkata sebelum aduan diterima, beliau tidak tahu menahu mengenai gambar itu, kerana pameran tersebut dilancarkan pada Sabtu, iaitu pada hari yang sama sambutan kemerdekaaan dan Hari Malaysia peringkat kebangsaan dilancarkan. – 8 Ogos, 2018.
Komen