RUU mansuh Akta Anti Berita palsu dibentang di Dewan Rakyat


Melati A. Jalil

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong membentangkan RUU Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan pertama hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2018.

PUTRAJAYA membentangkan Rang Undang-undang (RUU) bagi memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong membentangkan RUU Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan pertama hari ini.

Beliau berkata RUU itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi pemansuhan akta berkenaan kerana perubahan dasar kerajaan bahawa berita tidak benar boleh ditangani di bawah undang-undang sedia.

Katanya, antara undang-undang sedia ada yang boleh digunakan ialah seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Liew berkata RUU itu juga menyatakan apa-apa penyiasatan, pendakwaan atau prosiding berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang belum selesai di bawah akta yang dimansuhkan, boleh diteruskan seolah-olah akta itu masih berkuat kuasa.

Akta Anti Berita Palsu diluluskan di bawah pentadbiran terdahulu pada April, menjadikan Malaysia salah sebuah negara di dunia yang mempunyai undang-undang terhadap berita palsu.

Di bawah undang-undang itu, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan sehingga enam tahun.

Undang-undang itu dikritik kerana ia memberikan kerajaan kuasa berlebihan, termasuk bidang kuasa luas membenarkan ia mendakwa atau menahan mana-mana individu yang menyiarkan apa juga yang dianggap sebagai berita palsu.

Ia juga memperuntukkan pembiaya blog atau laman web berita dikenakan hukuman, sementara permohonan mahkamah untuk menarik balik larangan penyiaran boleh ditolak dengan alasan keselamatan negara. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen