Kiandee sambut baik pelantikan sebagai pengerusi PAC


Pelantikan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen daripada parti pembangkang mencatat satu sejarah baharu negara, kata Dr Ronald Kiandee yang hari ini dilantik memegang jawatan itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2018.

PELANTIKAN pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen daripada parti pembangkang mencatat satu sejarah baharu negara, kata Dr Ronald Kiandee yang hari ini dilantik memegang jawatan itu.

Ahli Parlimen Beluran daripada Barisan Nasional itu yang juga bekas timbalan speaker Dewan Rakyat berkata beliau menyambut baik langkah progresif diambil kerajaan Pakatan Harapan (PH), memandangkan tugas serta tanggungjawab PAC adalah untuk meneliti segala urusan dan tatacara kewangan negara bukan sahaja membabitkan kerajaan ketika ini, tetapi juga kerajaan terdahulu, sekiranya perlu.

Beliau berkata PAC perlu memainkan peranan dengan berkesan dalam menyediakan mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan dengan lebih telus dan berakauntabiliti.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa dalam PAC Parlimen,  mencari kebenaran terhadap segala berkaitan wang awam adalah amat penting, integriti Parlimen sentiasa terpelihara berdasarkan konsep pengasingan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dewan Rakyat hari ini bersetuju memilih Kiandee dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh daripada DAP sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi PAC bagi Parlimen ke-14.

Pelantikan pengerusi PAC dalam kalangan pembangkang merupakan antara janji dalam manifesto PH pada pilihan raya umum lalu. Selama ini, pengerusi PAC dilantik daripada kalangan parti pemerintah. 

Sehubungan itu, Kiandee memohon ahli PAC yang akan dipilih Jawatankuasa Pemilih kelak supaya mengetepikan ideologi politik masing-masing apabila menghadiri mesyuarat PAC Parlimen supaya setiap prosiding dapat dijalankan tanpa rasa takut dan memihak kepada mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Kiandee turut memberi komitmen bahawa PAC akan memeriksa semua projek dibiayai kerajaan, memastikan semua syor PAC kepada kerajaan diambil tindakan sewajarnya dan memastikan jawatankuasa itu sentiasa terbuka terhadap segala cadangan untuk jalankan siasatan terhadap sebarang projek kerajaan.

Beliau juga mencadangkan kepada yang dipertua Dewan Rakyat supaya mengkaji semula Peraturan Mesyuarat 85 Dewan Rakyat yang tidak membenarkan mesyuarat prosiding PAC Parlimen dilakukan secara terbuka bagi memastikan semua prosiding dijalankan dengan telus, berakauntabiliti dan berkredibiliti.

Kiandee turut mencadangkan supaya laporan PAC dibahaskan di Dewan Rakyat dengan diberikan slot masa khusus.

Selain itu, tambah beliau keahlian wakil tetap jawatankuasa itu juga dicadang ditambah dengan penyertaan wakil Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, selain Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara, Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perkhidmatan Awam.– Bernama, 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen