Audit dalaman gagal kesan RM7.4 juta dana Iksim


Melati A. Jalil

AUDIT dalaman yang dijalankan di Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) mendapati sejumlah RM7.4 juta tidak dapat dikesan ke mana ia dibelanjakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata ia merupakan salah satu sebab mengapa Putrajaya membekukan peruntukan kepada institut itu.

“Berdasarkan audit dalaman, RM7.6 juta diberikan kepada mereka. Daripada jumlah keseluruhan, RM7.4 juta tidak dapat dikesan. Kami tidak dapat mencari dokumen dan bukti menunjukkan bagaimana ia dibelanjakan.

“Kami tidak tahu ke mana mereka membelanjakannya, bagaimana mereka membelanjakannya. Ini jumlah yang besar, ia bukan jumlah kecil bagi sebuah institut yang menganggap diri mereka sebagai institut penyelidikan Islam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pada 19 Julai, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata permohonan Iksim untuk mendapatkan dana dibekukan sementara menunggu penilaian statusnya.

Fuziah sebelum ini berkata Iksim adalah syarikat swasta yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Syarikat.

Mujahid, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, berkata audit dalaman dikumpul oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selepas Pakatan Harapan mengambil alih sebagai kerajaan persekutuan.

Dan walaupun terdapat objektif yang baik bagi menubuhkan Iksim, institut itu dikendalikan oleh beberapa individu tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan kuasa mereka, katanya.

“Ini mengecewakan dan kami memutuskan untuk membekukan dan melihat proses pemulihan yang boleh dilakukan,” katanya, sambil menambah semua perkara mengenai gaji tertunggak akan diselesaikan tidak lama lagi.

“Kami tidak mengabaikan pekerja, tetapi kami menumpukan kepada isu kewangan korporat yang tidak bertanggungjawab. Ini adalah hari yang menyedihkan bagi institusi Islam,” katanya. – 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen