Kumpulan hak asasi mahu akses ke pusat tahanan Imigresen


Low Han Shaun

Kumpulan hak asasi manusia, Tenaganita membuat tuntutan berkenaan bagi mencegah penderaan ke atas pendatang asing yang ditahan melalui serbuan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2018.

SEBUAH kumpulan hak asasi manusia menuntut diberi akses ke pusat tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mencegah penderaan ke atas pendatang asing yang ditahan melalui serbuan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) baru-baru ini.

Pengarah Urusan Tenaganita Glorene A. Das berkata serbuan besar-besaran itu yang bermula bulan ini telah mendapat perhatian umum berkenaan keadaan pusat tahanan yang begitu sesak.

“Berikan kami akses ke pusat tahanan (supaya kami boleh) menilai, memantau dan membuat cadangan untuk penambahbaikan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Das, pusat tahanan JIM amat sesak dan tahanan terpaksa melalui pengalaman yang menakutkan.

“Mereka (tahanan yang dibebaskan) memberitahu saya yang kem-kem tahanan ini sangat sesak. Adakah keadaan ini akan bertambah baik? Sudah tentu tidak. Ia akan jadi lebih teruk, dan kami mahu tahu siapa yang memantau,” kata Das.

Beliau juga mendakwa ahli-ahli Tenaganita yang menyamar di pusat-pusat tahanan tersebut mendapati tahanan akan “hilang begitu saja”.

“Hari ini ada, esok tak ada.”

Pengarah Urusan Tenaganita Glorene A. Das berkata serbuan besar-besaran itu yang bermula bulan ini telah mendapat perhatian umum berkenaan keadaan pusat tahanan yang begitu sesak.

Manakala tahanan lain katanya, tidak akan bertanya kepada pegawai Imigresen mengenai rakan mereka yang hilang kerana takut dipukul.

Menurut Das lagi, pegawai juga akan memerintahkan tahanan dari satu kaum memukul tahanan kaum lain.

“Pegawai-pegawai ini tidak ditangkap kerana perspektif rakyat Malaysia ialah semua pekerja asing adaah penjenayah.

Beliau juga mendkawa pegawai-pegawai ini menuntut bayaran sebanyak RM50-RM200 bagi setiap lawatan yang tahanan terima.

Kebiasaannya, tahanan membayar RM50 untuk membuat panggilan telefon selama lima minit, tetapi selepas serbuan besar-besaran baru-baru ini kadar itu meningkat sehingga RM300 bagi setiap panggilan yang dibuat.

Melalui data yang dikumpul Tenaganita, jumlah tahanan meningkat dari bulan ke bulan sejak awal 2018 berbanding tahun lepas.

“Pada Mei 2015, jumlah tahanan ialah 12,500. Pada akhir 2016, 1,199 orang ditahan dan pada 2017, jumlahnya 769 orang. Sehingga Jun tahun ini, seramai 567 orang ditahan,” kata Das.

“Saya tak peduli jika ia disebabkan oleh kerajaan BN, yang selalu menafi, atau kerajaan PH, yang mana pelarian dan pekerja asing bukanlah dalam agenda mereka.

“Ini sepatutnya mengenai mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya.

Das berkata lebih banyak pihak seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) perlu dimaklumkan mengenai keadaan tahanan. – 5 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen