PKR Memilih: Rafizi atau Azmin?


Awang Azman Awang Pawi

PENAMAAN calon bagi pemilihan PKR berlangsung hari ini tetapi bahangnya pemilihan itu mula terasa hangat minggu lalu apabila Naib Presiden, Rafizi Ramli mengumumkan bertanding jawatan timbalan presiden.

Hampir semua  yang menyokong dan menyertai kem Rafizi terdiri daripada kalangan yang tidak mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan dan parti. Yang ada cuma wakil rakyat baik ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri. 

Segelintir sahaja dalam kalangan mereka menganggotai Kabinet atau exco. Hanya Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh serta tiga exco kerajaan negeri yang secara terbuka menyertai kem Rafizi.

Di kem Rafizi ada Dr Idris Ahmad, Adun Ijok yang juga bekas calon menteri besar Selangor. Ada juga Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad merangkap ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau yang sebelum ini disebut-sebut calon berwibawa sebagai menteri belia dan sukan akan bertanding jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan akan bertanding jawatan naib presiden bersama Ahli Parlimen Sungai Petani dan Adun Gurun, Kedah Johari Abdul yang pernah disebut calon menteri besar Kedah dan calon speaker Dewan Rakyat.

Mereka ini dianggap berpotensi memegang jawatan strategik dalam Kabinet namun nama tidak tersenarai di peringkat saringan akhir.

Golongan anak muda yang menyokong Rafizi dikatakan kebanyakannya dlihat aktivis yang banyak berjuang untuk rakyat. Antaranya, Sukri Razab dan Fahmi Zainol yang terkenal sebagai orang kaki demo atau “kaki jalan raya”.

Golongan ini juga kebanyakannya dilihat tidak mewakili golongan elit dalam PKR dan sering kelihatan dalam acara demonstrasi sebelum ini. Idealisme mereka tinggi kalau pun tidak berada dalam dunia utopia politik.

Disebabkan kebanyakan mereka bukan disifatkan golongan feudal dan elit, menurut akar umbi mereka ini dipercayai lebih faham perjuangan rakyat.

Anak-anak muda yang mempunyai idealisme tinggi inilah yang dikatakan membantu Pakatan Harapan (PH) bersungguh-sungguh melalui Invoke khususnya untuk menarik undi dan memenangkan parti pada pilihan raya yang lalu.

Penyokong PKR banyak membantu Pakatan Harapan dalam memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2018.

Terdapat juga dalam kalangan mereka yang sudah lama terlibat dengan refomasi, bukannya orang yang baru memasuki parti. Mereka mendakwa ada dalam kalangan yang baru masuk parti diberikan jawatan tanpa pengorbanan dan sumbangan lama, berbanding yang lain yang sudah hadir sejak zaman reformasi.

Golongan ini mempunyai hasrat untuk memperbaiki kehidupan ahli yang didakwa tidak terbela dengan berusaha untuk menubuhkan sebuah koperasi rakyat bagi membantu memberikan kesejahteraan hidup kepada ahli akar umbi parti.

Golongan pendukung Rafizi ini percaya keadilan perlu didukung semula oleh mereka yang memahami keinginan rakyat, bukan oleh kalangan mereka yang didakwa memenuhi keinginan individu dan kelompok semata-mata.

Kenyataan pendukung Rafizi ini seolah-olah penyandang timbalan presiden kurang berusaha untuk mengukuhkan parti dan kebajikan anggota parti.

Populariti

Populariti Rafizi melonjak khususnya sumbangan beliau dalam aktiviti strategi melalui Invoke terutamanya dalam kalangan anak muda.  

Namun dari segi struktur politik PKR, Mohamed Azmin Ali dilihat masih lagi mempunyai pengaruh yang besar lebih-lebih lagi beliau pernah menerajui Selangor dan berpengalaman sebagai menteri besar yang cemerlang.

Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil pendirian selamat dengan memberikan sokongan kepada sesiapa sahaja yang bertanding pada pemilihan parti.

Ini sesuai dengan prinsip demokrasi dan sebagai satu amalan yang sihat bagi memastikan PKR terus berkembang dan menaikkan semangat anak muda.

Tetapi adakah kombinasi gabungan muka lama dan baru sepertimana dibayangkan oleh Wan Azizah ialah bayangan gabungan Anwar-Rafizi?

Yang menariknya, Rafizi turut memberi bayangan bahawa Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar juga akan bersama dalam kem beliau pada pemilihan parti tahun ini.

Azmin pula hampir pasti akan mempertahankan jawatan timbalan presiden. Beliau dilihat cukup tenang, memberikan imej bahawa beliau kini lebih sibuk dengan urusan Parlimen dan kementerian hal ehwal ekonomi serta ahli lembaga Khazanah.

Lantikan strategik ini menjadikan Azmin dilihat paling berkuasa  bukan sahaja dalam kerajaan PH, malah dalam konteks PKR.

Pasti Azmin sedar bahawa belum masanya beliau untuk bertanding di peringkat presiden kerana sumbangannya belum lagi mengatasi sumbangan Anwar Ibrahim dalam institusi PKR.

Dalam hal ini, kesabaran politik juga perlu kerana beliau hanya setapak lagi ke peringkat presiden. Silap percaturan boleh membawa padah kepada kerjaya politiknya.

Meskipun rekod Azmin bertanding dalam pemilihan cemerlang, namun kesetiaan dan hormat Azmin kepada Anwar dan Wan Azizah masih lagi tinggi.

Namun ini tidak menghalang spekulasi bahawa Azmin akan mengumumkan bertanding sebagai presiden pada saat-saat akhir dan ini bergantung kepada prestasi pilihan raya kecil Sungai Kandis.

Sebenarnya kepercayaan tinggi Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri terhadap Azmin memberikan tafsiran dan persepsi dalam kalangan akar umbi PKR.

Seolah-olah Dr Mahathir mahukan Azmin melangkah ke depan dengan lebih cepat lagi, dan ini boleh mengancam kedudukan Anwar sebagai bakal perdana menteri.

Hubungan intim Dr Mahathir-Azmin pada satu sisi membawa kebaikan untuk pentadbiran kerajaan PH dan pada satu sisi yang lain menggusarkan ahli akar umbi PKR terutama yang menyokong Rafizi.

Selaku bekas menteri besar Selangor, negeri dengan keahlian PKR tertinggi, Azmin dikatakan menguasai aspek struktural dan institusi politik yang ada.

Malah dikatakan kepimpinan Azmin terserlah melalui dasar “Peduli Rakyat” di Selangor yang berjaya dan kini menjadi model kepada kerajaan PH. Orang-orang Azmin juga banyak manfaat melalui lantikan-lantikan politik.

Kedudukan Anwar sebagai bakal perdana menteri pula sebenarnya tidak tergugat kerana persetujuan sudah dibuat dalam komponen PH yang Anwar bakal menggantikan Dr Mahathir dalam tempoh dua tahun.

Kerisauan akar umbi PKR ialah bimbang Dr Mahathir tidak menunaikan janji, meskipun Dr Mahathir berulang kali menegaskan bahawa Anwar tetap penggantinya.

Apa pun, sama ada Azmin atau Rafizi masing-masing sukar untuk memanipulasi sistem pemilihan ini kerana terdapat 800,000 keahlian PKR yang akan mengundi menggunakan sistem e-voting.

Sistem “satu undi seorang ahli” ini sukar untuk dipengaruhi  berbanding dengan sistem pemilihan Umno yang berdasarkan sistem perwakilan.

Inilah medan terbuka buat Rafizi dan Azmin bertarung di gelanggang pemilihan yang rata dan seterusnya akan menentukan hala tuju pucuk pimpinan PKR selepas PH menawan Putrajaya.

Maka, raikanlah demokrasi dan demokrasi yang sihat adalah dituntut. – 5 Ogos, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Bertanding secara bersih, jangan lawan

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Roger 5201 · Ulasan

  • Azmin tu Timbalan President PKR.
    Kalau Tun M tak bagi dia kedudukan tinggi, orang PKR cakap tak adil. Bila bagi kedudukan, cakap Tun M terlalu rapat dengan Azmin.
    Kalau Tun M tak rapat dengan Azmin, nanti orang cakap Tun M takda teamwork.
    Kalau Azmin tak rapat dengan Tun M, nanti orang cakap Azmin takda teamwork.
    Bila bagi kedudukan dalam Khazanah, orang cakap Azmin paling berkuasa.
    Kalau tak bagi kedudukan dalam Khazanah, orang cakap PM gila kuasa.
    Jadi, takda apa yang betul. Semua salah.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Rucky Bro · Ulasan