Pemuda PKR hadapi tiga penjuru, Najwan mahu buang imej elit sayap parti


Mohd Farhan Darwis Nabihah Hamid

Bekas pegawai khas Anwar Ibrahim, Najwan Halimi mengesahkan akan mengemukakan pencalonan pada hari penamaan calon esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 Ogos, 2018.

PEMILIHAN ketua sayap Pemuda PKR akan ditandingi tiga calon selepas bekas pegawai khas Anwar Ibrahim, Najwan Halimi mengesahkan akan mengemukakan pencalonan pada hari penamaan calon esok.

Dua calon sebelum ini sudah mengumumkan tawaran untuk mengetuai Angkat Muda Keadilan (AMK) - Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin yang juga Adun Seberang Jaya dan Pengarah Strategi AMK, Akmal Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru.

“Ya, saya akan umum dalam masa terdekat,” katanya, ketika dihubungi The Malaysian Insight, menjawab desas-desus kedudukannya dalam pemilihan sayap itu.

Adun Kota Anggerik itu mengakui peluangnya tidak sebaik Dr Afif dan Akmal. Namun katanya, beliau masuk bertanding dengan matlamat menjadikan AMK lebih dekat dengan rakyat dan bukannya sebuah kumpulan elit yang berkelompok sesama sendiri.

Najwan berkata kalau diberi mandat, beliau mahu menjadikan sayap pemuda PKR itu lebih dinamik dan inklusif, yang tidak terikat dengan tokoh tertentu dalam parti sebaliknya menjuarai rakyat.

“Kita mahu lihat gerakan anak muda yang ampuh tetapi sekarang Pemuda PKR agak tengelam dan ketinggalan berbanding sayap pemuda lain. Pemuda Umno walaupun pembangkang auranya masih mengesankan… pemilihan mereka masih menarik perhatian orang.

“Untuk Pemuda PKR bergerak ke depan perlu ada idea segar dan pendekatan rasional dan tak terbawa bawa gaya politik lama, politik berkelompok dan eksklusif,” katanya.

Dalam satu kenyataan media, Najwan menamakan timbalan ketua AMK Melaka, Naqiuddin Nazrin sebagai regunya untuk jawatan timbalan ketua AMK Pusat.

Pasukan

Hari ini, Dr Afif mengumumkan bertanding jawatan ketua AMK, bergandingan dengan Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham. Hilman adalah juga  setiausaha politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, penyandang timbalan presiden PKR.

Pengumuman Dr Afif menyusul pengenalan barisan “pasukan Rafizi Ramli” Ahad lepas yang meletakkan Akmal sebagai calon ketua AMK, dengan Raymond Ahuar sebagai calon timbalan.

“Kita meraikan demokrasi dalam parti yang mana, mana-mana pimpinan yang dapat sokongan kita alu-alukan. Saya rasa tiada masalah (pertembungan tiga penjuru).

“Nampaknya AMK bakal melahirkan lebih banyak pelapis,” kata Akmal ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin yang juga Adun Seberang Jaya mengumumkan bertanding jawatan ketua AMK, bergandingan dengan Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2018.

Najwan yang juga bekas timbalan ketua penerangan AMK belum lagi mengumumkan barisan kepimpinannya bagaimanapun tekad mahu menjadi pengganti Nik Nazmi Nik Ahmad untuk meningkatkan kembali imej sayap pemuda itu.

“Pemuda PKR kena dinamik dan inklusif, bukan setakat kelompok dalam parti semata mata, tapi juga di luar parti. Kita tak nak lihat pemuda jadi elit tapi kita nak bawa imej yang lebih merakyat.

“Kita juga perlu dilihat bebas dan tidak dilihat terkongkong dalam satu kelompok semata-mata. Kita juga tidak boleh terikat dengan mana-mana tokoh tetapi perlu ada keseimbangan,” katanya.

Najwan juga melahirkan hasrat mahu melihat sayap pemuda PKR jadi tunjang dalam Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan dilihat memimpin sayap pemuda gabungan empat parti bersama Bersatu, DAP dan Amanah itu.

“Walaupun ketua pemuda PH diterajui PKR tapi kehadirannya tak dirasai. PKR adalah tunjang kepada PH dan pemuda wajar menonjol dengan memimpin Pemuda PH,” jelasnya.

Sikap berpuak tidak bantu PKR

Mengulas tanggapan wujudnya puak-puak dalam PKR menjelang pemilihan parti itu September ini, Najwan berpendapat persepsi itu tidak baik untuk parti dan tidak membantu parti menggerakkan agenda reformasi.

“Dalam PKR jelas, kita ada agenda reformasi. Sekiranya saya sendiri bertanding, kita jelas tak akan terikut dengan persepsi ini dan menjadi proksi mana-mana tokoh.

“Kita bergerak mendukung agenda reformasi dan sokongan jelas kepada Anwar Ibrahim, lebih-lebih lagi apabila beliau kata nak bertanding jawatan presiden. Akhirnya, kita semua ini kem Anwar Ibrahim.

“Agenda parti kita lebih penting. Kita tak boleh jadi politik macam Umno. Masing -masing ada proksi dengan kepimpinan,” katanya lagi.

Pencalonan bagi pemilihan jawatan peringkat pusat yang sepatutnya diadakan pada hujung minggu lalu ditangguh seminggu sehingga Ahad ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis esok.

Pemilihan yang buat pertama kali dijalankan secara undian elektronik dijadual berlangsung antara 14 September hingga 7 Oktober secara peringkat-peringkat mengikut negeri-negeri. – 4 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • pkr merupakan sebuah parti yg demokrasi dalam pemilihan apa-apa jawatan yg dipertandingkan sekalipun.. penting juga untuk pemuda pkr dekat dengan rakyat.. mereka seharusnya lebih menonjol dikalangan orang awam di luar sana.. perlu bersikap neutral dan tak terikat dalam satu kelompok semata..

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan

  • sangat penting untuk dekat dengan rakyat dan menonjol dalam membantu, jangan la tunggu pihak rukun tetangga perumahan panggil baru nak datang tanya. come regularly then.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Siti Fatimah · Ulasan