Afif, Hilman berganding bahu rebut 2 jawatan tertinggi AMK


Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin berkata pimpinan AMK perlu mewakili suara rakyat untuk menegur pemimpin dan tidak meniru sayap Pemuda Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2018.

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham mengumumkan akan bergandingan bagi merebut jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan timbalan ketua dalam pemilihan parti PKR akan datang.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka menegaskan kepimpinan AMK perlu mempunyai satu pasukan yang bersatu padu dan kuat untuk merencana masa depan Malaysia Baru serta menjamin pelaksanaan agenda reformasi di Putrajaya.

“Mendepani cabaran ini, kami memulakan perbincangan bersama Anwar Ibrahim dan pimpinan-pimpinan utama parti, teman-teman seperjuangan di Permatang Pauh dan di Gombak serta akar umbi AMK bagi membingkai muafakat yang utuh.

“Kami berharap dengan sokongan semua anggota AMK untuk bersama-sama ‘PKR Masa Depan’, kita dapat menjana semula satu muafakat baru bagi membangun sayap AMK yang kuat dan progresif,” kata mereka dalam satu kenyataan media bersama.

Hilman juga ialah setiausaha politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali yang juga penyandang timbalan presiden PKR.

Dalam kenyataan mereka, Afif dan Hilman menyifatkan generasi muda telah memainkan peranan yang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu demi mengubah lanskap politik serta merealisasikan agenda reformasi.

Jelasnya, kejayaan itu sebahagiannya hasil daripada gerak kerja AMK yang berjaya menampilkan calon-calon muda yang berketrampilan dan wibawa.

“AMK juga berjaya merangkul anak muda Malaysia untuk bergerak sebagai agen parti dan jentera kempen bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan.  

Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham akan bertanding merebut jawatan timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan dalam pemilihan parti PKR akan datang. – Gambar Facebook, 3 Ogos, 2018.

“Justeru, kami ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh anak muda Malaysia khususnya anggota AMK yang telah bersama-sama dalam perjuangan dan melakar sejarah ini,” ujarnya.

Afif sebelum ini berpendapat mereka yang bakal menerajui kepimpinan AMK perlu mewakili suara rakyat untuk menegur pemimpin dan tidak meniru sayap pemuda dalam Barisan Nasional (BN) yang gagal menegur pentadbiran Najib Razak sebelum ini kerana menganggap pemimpin kerajaan terlalu berkuasa.

“Kita harus menyampaikan mesej yang jelas kepada pemimpin. Jangan lagi kita menganggap perdana menteri atau menteri-menteri itu ada kuasa mutlak, seperti yang kita hadapi 60 tahun sebelum ini.

“Apabila ada kuasa mutlak, ia akan lahirkan satu raksasa seperti berlaku sebelum ini yang menyebabkan negara hampir hancur. Jangan kita ulangi kesilapan itu,” ujarnya.

Proses penamaan calon untuk 218 cabang parti sudah bermula 27 Julai lalu hingga 4 Ogos ini manakala penamaan calon bagi jawatan tertinggi parti dikenali Majlis Pimpinan Pusat pada 5 Ogos.

Lebih kurang 800,000 ahli PKR akan mengundi pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung antara 14 September hingga 7 Oktober depan. – 3 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen