Pemuda PKR suara rakyat tegur pemimpin, elak jadi macam BN


Nabihah Hamid

Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin berkata sayap itu tidak akan lagi menganggap perdana menteri dan menteri lain ada kuasa mutlak, seperti pada zaman pemerintahan BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 Julai, 2018.

SAYAP Pemuda PKR mesti mewakili suara rakyat untuk menegur pemimpin supaya kerajaan sentiasa tahu keadaan sebenar yang dihadapi masyarakat, kata timbalan ketuanya, Dr Afif Bahardin.

Beliau berkata Pemuda PKR tidak harus jadi seperti sayap pemuda dalam Barisan Nasional (BN) yang gagal menegur pentadbiran Najib Razak sebelum ini kerana menganggap pemimpin kerajaan terlalu berkuasa.

Dr Afif disebut-sebut bakal bertanding jawatan ketua sayap yang dikenali sebagai Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu.

“Kita harus menyampaikan mesej yang jelas kepada pemimpin. Jangan lagi kita menganggap perdana menteri atau menteri-menteri itu ada kuasa mutlak, seperti yang kita hadapi 60 tahun sebelum ini,” katanya, merujuk pada era pemerintahan BN sebelum pilihan raya umum 9 Mei lepas.

“Apabila ada kuasa mutlak, ia akan lahirkan satu raksasa seperti berlaku sebelum ini yang menyebabkan negara hampir hancur.

“Jangan kita ulangi kesilapan itu,” katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.

Adun Seberang Jaya, Pulau Pinang yang juga exco kesihatan negeri itu memberi contoh Pemuda Umno yang sebelum ini gagal memainkan peranan menegur Najib Razak dalam skandal syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sarat hutang dan sedang disiasat di beberapa negara.

“Kita harus jadi suara prihatin rakyat Malaysia, walaupun kita dalam kerajaan sekarang ini. Kita harus faham masalah yang kita hadapi sebelum ini.

“Kenapa Najib terus dengan sikap langsung tidak mahu menerima hakikat bahawa beliau melakukan perkara tidak baik untuk negara… kerana beliau tidak dikritik oleh rakan-rakannya.

“Pemuda Umno gagal memainkan peranan untuk menasihati pemimpin walhal saya rasa Pemuda sepatutnya memainkan sikap yang berani dan menjadi suara kepada rakyat Malaysia.

“Selepas Najib sudah jatuh baru berani nak tegur. Tidak gunalah,” katanya.

Dr Afif memberi contoh isu kos sara hidup nelayan, bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih terbuka mengadakan perbincangan berbeza dengan BN dulu.

“Contohnya, baru-baru ini perdana menteri tak setuju bantuan kos sara hidup nelayan diteruskan tapi menteri pertanian keluar kenyataan tidak bersetuju. Saya sendiri keluarkan pandangan supaya ia dikaji semula. Ia membuka ruang kepada perbincangan.

“Kalau dulu, Pemuda Umno tidak boleh mengkritik mahupun menegur pemimpin. Kalau ikutkan seharusnya Pemuda perlu main peranan mendesak Najib letak jawatan,” katanya.

Dr Afif merujuk pada elaun sara hidup bulanan antara RM200 hingga RM300 kepada nelayan diteruskan selepas perbincangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan bagaimanapun hanya menghentikan bantuan insentif tunai sekali yang diberikan oleh kerajaan BN sebelum ini kepada nelayan.

Pemuda PKR jadi ‘pembangkang’ pastikan manifesto terlaksana

Dr Afif berkata walaupun sudah jadi “Pemuda kerajaan”, sayap itu perlu terus jadi agen pemantau bagi memastikan janji manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum ke-14 terlaksana.

“Banyak perdebatan yang dibangkitkan seperti (dalam isu) pernikahan bawah umur dan tuntutan reformasi. Pada saya pemuda boleh mainkan peranan bukan hanya membangkang saja tetapi pemuda yang bekerja, yang turun ke bawah menjelaskan pula pelaksanaan manifesto ini,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan PKR bermula September ini, Dr Afif enggan mengesahkan beliau akan menawarkan diri untuk jawatan ketua Pemuda PKR, walaupun namanya disebut-sebut akan bertanding.

Beliau bagaimanapun membayangkan harapan peribadinya mahu sayap pemuda itu terus mengangkat suara anak muda dan menyediakan pimpinan yang berkualiti untuk mengambil alih kepimpinan parti suatu hari nanti. – 26 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen