PEMBERIAN Elaun Sara Hidup (ESH) nelayan tidak akan dihentikan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.
Merujuk laporan yang memetik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata bantuan bulanan RM200 hingga RM300 kepada para nelayan akan dihentikan, Salahuddin menjelaskan ia merujuk kepada insentif tunai sekali gus yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada nelayan sebelum ini.
Menurutnya perkara itu disahkan oleh Dr Mahathir dalam perbincangan antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas serta Pejabat Perdana Menteri berikutan kenyataan dalam laporan berkenaan.
Menurut Salahuddin lagi perdana menteri juga merujuk pemberian tersebut telah dibuat menggunakan wang daripada sumber yang meragukan.
“Kenyataan perdana menteri tidak membabitkan pemberian lain dan ini termasuk Elaun Sara Hidup (ESH) nelayan yang telah termaktub sebagai program-program di bawah kementerian,” kata Salahuddin dalam satu kenyataan hari ini.
ESH nelayan dilaksanakan sejak Jun 2008 untuk meringankan beban kos sara hidup nelayan.
Laporan sebelum ini menyebut kadar bantuan tersebut ialah antara RM250 dan RM300 mengikut kategori zon nelayan dan lebih 10,000 nelayan di seluruh negara melibatkan 5,000 nelayan laut dalam dan 5,400 nelayan darat yang menangkap ikan di sungai dan empangan. – Bernama, 22 Jun, 2018.
Komen