Anifah penipu sebenar dan pengkhianat, kata Shafie


Jason Santos

GILIRAN Presiden Warisan Shafie Apdal pula menyerang Anifah Aman, menggelarnya sebagai “penipu sebenar” dan “pengkhianat” Umno.

“Ia tidak benar. Saya peruntukkan berjuta untuk Kimanis bagi pelbagai pembangunan.

“Dia (Anifah) yang sebenarnya pengkhianat sebenar, bila dia mengkhianati Pak Lah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Shafie berkata beberapa bekas pemimpin Umno Kimanis boleh mengesahkan peruntukan yang diberikan kepada Kimanis ketika menjadi menteri pembangunan luar bandar dan wilayah.

“Biar saya beritahu anda, saya tak akan biarkan menteri lain menunggu di luar pejabat saya.

“Anda boleh tanya sesiapa saja daripada kementerian mengenainya. Lagipun, jika Anifah buat permohonan peruntukan, mengapa dia tidak bangkitkan di Kabinet persekutuan, sebaliknya datang berjumpa saya di pejabat,” katanya.

Sabtu lalu, Anifah menuduh Shafie pengkhianat Umno, berkata sekarang Shafee merayu sokongan untuk partinya, Warisan daripada penduduk Kimanis, selepas menafikan peruntukan pembangunan ketika berkuasa.

Anifah berkata beliau pernah terpaksa menunggu di luar pejabat kementerian Shafie selama dua jam. Anifah mendakwa beliau kemudiannya diminta meninggalkan cadangan projek RM50 juta untuk Kimanis tanpa dapat berjumpa Shafie.

Shafie berkata Anifah sebenarnya yang mengkhianati bekas perdana menteri Abdullah Badawi pada 2008.

Katanya, Anifah serta beberapa pemimpin Barisan Nasional enggan menandatangani ikrar setia kepada Abdullah selepas barisan pemerintah itu bergelut dengan krisis kesetiaan pada 2008.

“Saya tidak faham dia (Anifah). Saya percaya dia memainkan peranan besar dalam mensabotaj usaha saya mempertahankan jawatan naib presiden Umno dalam pusingan kedua,” katanya.

Shafie berkata Anifah menyingkirkan ketua Umno bahagian itu Yusof Said bersama lapan pemimpin bahagian lain, serta 41 ahli Umno kerana menyokongnya pada pemilihan parti 2013.

Yusof juga menyifatkan Anifah berbohong, berkata Shafie menyalurkan pelbagai dana bantuan perumahan PPRT dan pembinaan jalan baharu ketika beliau menjadi menteri.

“Anda boleh periksa semua projek yang diluluskan Kementerian Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar di pejabat daerah, ketika Shafie menjadi menteri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, Shafie juga melawat sebuah sekolah rendah di Batu 6 Kimanis, mengumumkan peruntukan beberapa juta ringgit untuk pembinaan dewan baharu sekolah itu.

“Bohong kalau Shafie tidak pernah menjejakkan kakinya di Kimanis, atau tidak pernah membantu penduduk di sana,” katanya.

Yusof yang kini ketua tajaan Warisan Kimanis berkata beliau disingkirkan daripada Umno bersama 49 yang lain oleh Anifah tanpa merujuk kepada lembaga disiplin Umno.

Beliau berkata mereka dipecat kerana menyokong Shafie ketika pemilihan Umno. – 24 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen