Isu 1MDB, RM2.6 bilion boleh dibawa ke Parlimen


Melati A. Jalil

Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa yang kesnya akan didengar pada 8 ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2018

PERINTAH interim yang diperoleh peguam bekas perdana menteri Najib Razak untuk menghalang kes mahkamahnya dibincangkan di khalayak turut terpakai di Dewan Rakyat, kata Speaker Mohamad Ariff Md Yusoff.

“Saya telah menyemak perkara ini dan memutuskan oleh kerana ia melibatkan pendakwaan kes jenayah di mahkamah Malaysia, justeri (kes itu) tidak boleh dibincangkan, dibahas atau disebut di Dewan Rakyat, sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah larangan. 

“Ini bagi menghormati penghakiman mahkamah dan prinsip pemisahan kuasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau bagaimanapun berkata, larangan itu hanya terhad bagi perkara berkaitan pendakwaan. 

Beliau turut menolak keputusan bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia yang tidak membenarkan perkara berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk saman yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, dibincangkan di Dewan. 

“Saya telah membincangkan perkara ini dan menafsirkan bahawa mahkamah dalam Peraturan 36 (2) hanya terpakai kepada mahkamah Malaysia, oleh itu ia tidak terpakai kepada mahkamah asing,” katanya.

Beliau turut membatalkan larangan sebelum ini berhubung isu derma politik RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun peribadi Najib Razak.

Dengan keputusan ini, ahli Parlimen kini boleh perbahaskan isu 1MDB dan pembabitan ahli Parlimen Pekan berhubung perkara itu. Bagaimanapun, mereka masih menghalang perbincangan atau perbahasan isu melibatkan kes jenayah Najib.

Pada Mac 2016, Pandikar memutuskan bahawa semua soalan berkaitan derma RM2.6 bilion adalah sub judis, bermakna ahli Parlimen tidak dibenarkan membangkitkan atau membincangkan perkara itu di Parlimen.

Dan pada Oktober 2016, Oandikar berkata soalan berkaitan saman sivil yang difailkan oleh DoJ tidak perlu dijawab, dan sekali lagi menyatakan prinsip sub judis.

Keputusan Ariff berikutan permohonan daripada penyokong pembangkang Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) untuk mendapatkan perintah baharu daripada speaker sama ada isu berkaitan 1MDB boleh dibincangkan ketika perdebatan.

Ariff berkata keputusan tu dibuat berdasarkan kebebasan bersuara di Dewan yang perlu dihormati.

“Prinsip sub judis tidak boleh didefinisikan dalam cara yang memberi kesan kepada kebebasan bersuara.

“Prinsip sub judis tidak boleh ditakrifkan dalam cara yang boleh mengakibatkan kebebasan bersuara Ahli Parlimen tidak berkesan dalam membangkitkan isu-isu kebangsaan dan awam melalui Dewan ini,” katanya.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan perintah larangan terhadap media daripada membincangkan mengenai merit kes jenayah Najib.

Peguam pembelaan Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan itu atas dasar anak guamnya berdepan perbicaraan oleh media sejak turun sebagai perdana menteri.

Selepas membenarkan perintah larangan, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Sofian Abd Razak menetapkan 8 Ogos untuk pendengaran kes terhadap permohonan rasmi yang dibantah oleh pendakwaan.

Pada 4 Julai, Najib didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa untuk penyelewengan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap kehilangan wang daripada dana 1MDB.

Pendakwaan itu adalah berkaitan dengan bagaimana RM42 juta (AS$10 juta) disalurkan dari SRC International, sebuah unit di bawah 1MDB, ke akaun peribadi Najib. – 2 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen