Kementerian tubuh jawatankuasa kaji PLKN, kata Mat Sabu


Melati A. Jalil

Kementerian Pertahanan perlu mengkaji dengan teliti sebelum keputusan muktamad dibuat berhubung pemansuhan Program Latihan Khidmat Negara. – Gambar Youtube, 2 Ogos, 2018.

KEMENTERIAN Pertahanan menubuhkan satu jawatankuasa untuk membuat semakan semula dan mengkaji keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebelum sebarang keputusan dapat dibuat sama ada untuk menamat atau mengubahnya, kata menterinya Mohamad Sabu.

Walaupun Pakatan Harapan berjanji untuk membatalkan program itu, yang menelan belanja RM8.43 bilion sejak pelaksanaannya pada 2004, Mohamad berkata terdapat keperluan untuk mengkaji dengan teliti sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Kajian ini penting untuk menilai implikasi kepada semua pihak terlibat, ia akan mengambil kira kemungkinan pengubahsuaian atau langkah pemotongan kos jika terdapat keperluan meneruskan program,” kata ahli Parlimen Kota Raja di Parlimen hari ini.

“Kerana daripada RM8 bilion yang dibelanjakan, 43% dibelanjakan untuk menyewa kem, dan bukan kurikulum program atau perkara lain.

“Dari segi pelaksanaan, terdapat banyak kekurangan yang perlu diperbetulkan jika ia mahu diteruskan,” katanya.

Beliau berkata pandangan pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa, bekas pelatih dan agensi berkaitan, akan dipertimbangkan sebelum laporan akhir dikemukakan kepada Kabinet.

Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) meminta kementerian menyatakan jumlah yang dibelanjakan PLKN dan jika tujuan program dalam memenuhi keperluan strategi baru adalah relevan untuk pertahanan negara.

Mohamad berkata selepas 14 tahun pelaksanaan, program ini sudah melatih 885,956 pelatih.

Daripada jumlah itu, 356,411 menyertai Briged Sukarelawan Perkhidmatan Negara.

Pada Jun, Jabatan Latihan Khidmat Negara mengumumkan Siri Kumpulan PLKN Ketiga 15/2018 ditangguhkan sehingga notis selanjutnya.

Ia berkata latihan itu ditangguhkan kerana pengambilan pelatih tahun ini melebihi sasaran 20,022 orang.

Objektif PLKN adalah untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan belia, menggalakkan perpaduan kaum di kalangan pelajar dan pembentukan karektor diri. – 2 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen