Azharuddin dipersalahkan, Hishammuddin terlepas, kata waris MH370


Khoo Gek San

Hishammuddin Hussein adalah pemangku menteri pengangkutan ketika tragedi MH370 berlaku. Cara Malaysia menangani nahas itu dikecam banyak pihak dan laporan akhir nahas mendapati wujud kepincangan protokol berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2018.

HISHAMMUDDIN Hussein perlu dipertanggungjawabkan kerana gagal mematuhi protokol pengawal trafik udara di Kuala Lumpur ketika pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang, kata ahli keluarga mangsa.

Jiang Hui, adalah anak kepada Jiang Cui Yun, antara mangsa tragedi itu berkata, Hishammuddin yang merupakan pemangku menteri pengangkutan ketika itu tidak wajar dibebaskan daripada sebarang tanggungjawab.

“Azharuddin Abdul Rahman patutnya meletak jawatan lama dahulu. Mereka tidak mengeluarkan kenyataan separa penggal untuk menjelaskan proses operasi mencari setiap tahun menurut Konvensyen Chicago (Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa),” kata Jiang merujuk kepada bekas ketua Jabatan Penerbangan Awam itu. 

Azharuddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia semalam, bertanggungjawab ke atas kegagalan pematuhan protokol di Pusat Kawalan Udara Kuala Lumpur (KLATSC).

“Hishammuddin cabut, Azharuddin dipersalahkan. Kedua-duanya gagal sebagai ketua. Kerana itulah wujud kekeliruan pada 8 Mac 2014 yang menyebabkan kelewatan misi mencari dan menyelamat dan kekeliruan dalam siasatan,” kata Jiang kepada The Malaysian Insight.

Hishammuddin bersama-sama Azharuddin adalah jurucakap utama kerajaan ketika tragedi itu.

Jiang menambah yang bekas kerajaan Barisan Nasional sepatutnya tahu tentang kegagalan pematuhan protokol di KLATSC.

Pengawal trafik udara di Kuala Lumpur dan Ho Chi Minh tidak bertindak segera selepas mereka terputus hubungan dengan MH370 pada hari kejadian.

Jiang juga berkata laporan siasatan keselamatan yang dikeluarkan kerajaan Malaysia pada 30 Julai tidak akan didedahkan kepada orang awam jika kerajaan lama masih berkuasa.

Katanya, laporan siasatan keselamatan MH370 itu perlu jadi peringatan kepada semua badan penerbangan awam untuk menambahbaik protokol mereka dalam kejadian sebegitu.

Keluarga penumpang dari China yang berada dalam MH370 telah menulis kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendesak Malaysia meneruskan operasi mencari pesawat yang hilang itu tetapi masih belum mendapat maklum balas rasmi, kata Jiang.

“Kami harap pasukan penyiasat tidak akan dibubarkan. Kami mahu tahu hasil keputusan siasatan jenayah juga,” katanya.

Penyiasat juga akan memberi taklimat kepada keluarga mangsa dari China di Beijing pada 8 Ogos.

Ketua Penyiasat Kok Soo Choon berkata setahun diambil pasukan untuk mengumpul maklumat dan dua tahun untuk menganalisis data, menafikan dakwaan yang wujud cubaan merahsiakan laporan itu.

Laporan siasatan menyimpulkan yang pesawat dikawal secara manual dan ia sengaja diterbangkan jatuh ke Lautan Hindi. Ia juga menolak kemungkinan berlakunya kegagalan mekanikal atau komputer.

Pesawat itu membawa 239 penumpang- 152 adalah warga China- hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. – 2 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • harap pencarian mh370 dapat dijalankan dengan lancar dan laporan siasatan diberikan kepada ahli keluarga mangsa..

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Aleeya sya · Ulasan