Pengawal trafik udara dalam kes MH370 akan disiasat, kata menteri


Mohd Farhan Darwis

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tindakan akan diambil terhadap pegawai kawalan trafik yang terlibat semasa kemalangan pesawat MH370 berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2018.

MENTERI Pengangkutan Anthony Loke berkata pegawai kawalan trafik yang terlibat semasa kemalangan pesawat MH370 berlaku dalam kejadian empat tahun lalu akan disiasat.

Katanya, tindakan itu akan ditentukan oleh satu jawatankuasa dalaman yang akan ditubuhkan oleh kementeriannya.

Tambahnya, ada di kalangan pengawai Jabatan Penerbangan Awam itu kini berkhidmat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Kita tahu siapa mereka, jumlah mereka yang bekerja ketika insiden itu berlaku antara 1 pagi hingga 6 pagi. Ada antara mereka yang masih berkhidmat dengan CAAM,” kata Loke kepada pemberita.

Beliau juga mengesahkan bahawa pengerusi CAAM Azharuddin Abdul Rahman meletak jawatan hari ini.

Azharuddin merupakan ketua pengarah DCA ketika kemalangan pesawat MH370 berlaku pada 8 Mac, 2014.

Azharuddin dilantik sebagai pengerusi CAAM selepas DCA dinaikkan taraf menjadi badan berkanun pada 19 Februari lalu.

“Saya ingin mengumumkan selepas laporan insiden MH370 dikeluarkan semalam, ketua pengarah DCA ketika itu, yang kini dikenali sebagai CAAM, Azharuddin meletak jawatan berkuatkuasa hari ini,” kata Loke.

Beliau bercakap pada sidang medianya di lobi Parlimen hari ini. – 31 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen