Rakyat Malaysia keliru dengan liberalisme


Low Han Shaun

Rakyat Malaysia perlu membincangkan dan menentukan versi mereka sendiri tentang apa yang dimaksudkan dengan liberalisme, kerana kebanyakan orang masih keliru dengan idea liberalisme dan melihatnya sebagai satu konsep acuan barat, kata penyelidik hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Julai, 2018.

RAKYAT Malaysia perlu membincangkan dan menentukan versi mereka sendiri tentang apa yang dimaksudkan dengan liberalisme, kerana kebanyakan orang masih keliru dengan idea liberalisme dan melihatnya sebagai satu konsep acuan barat, kata penyelidik hari ini.

Menurut tinjauan pendapat berhubung liberalisme yang dijalankan Merdeka Center dan Freidrich Naumann Foundation, majoriti rakyat Malaysia sebenarnya tidak faham apa itu liberalisme.

“Hasil tinjauan itu, hanya 15% rakyat Malaysia faham apa itu liberalisme, sementara 74% lagi tidak faham dan 11% lagi tidak pasti,” kata Ehsan Shahwaid dari Merdeka Center yang menyampaikan hasil tinjauan itu.

Tinjauan itu dijalankan ke atas 1,206 pengundi berusia 21 tahun dan ke atas menerusi panggil telefon di seluruh Malaysia, dari 26 November hingga 4 Disember, 2017.

Tinjauan itu mempunyai 11 soalan yang antaranya mengenai persepsi dan pemahaman rakyat Malaysia tentang liberalisme tanpa membandingkannya dengan tafsiran liberalisme yang diterima umum.

Dalam forum bertajuk “Liberalism in Politics, Social and Economic”, Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute berkata Perlembagaan Malaysia menjamin bentuk liberaslime yang terhad.

Namun, bagi memastikan liberalisme yang optimum dapat dicapai, Wong berkata, masa depan seseorang individu itu harus ditentukan melalui merit dan bukan ditentukan kategori.

“Saya harap suatu hari nanti kita boleh jadi berbeza tapi setara, kita tidak perlu mengasimilasi masyarakat sebelum semua orang dilayan setara,” katanya.

“Kita hanya boleh menjadi liberal apabila masa depan kehidupan seseorang di Malaysia tidak bergantung kepada kategori dia dilahirkan, sama ada kelas sosial yang lebih tinggi, bangsa dan lain-lain,” kata Wong.

Dr Asma Abdullah dari G25 berkata liberalisme adalah konsep yang perlu ditangani orang Melayu Islam di Malaysia.

“Pada peringkat silang budaya, Melayu Islam di Malaysia perlu mampu menerima konsep hak asasi manusia, pluralisme, liberalisme feminisme, seksime dan moderat,” katanya.

Asma berkata ia adalah “konsep barat” yang perlu untuk diterapkan dalam konteks Malaysia sebelum diberi penafsiran.

“Kita perlu menyedari bahawa istilah ini tidak diterima secara umum, kerana Malaysia mempunayai budaya yang sangat pelbagai.”

Oleh sebab itu, kata Asma, adalah penting untuk mengenal pasti perbezaan apabila mahu mengamalkan liberalisme di Malaysia.

“Kita harus cuba untuk mengenal pasti apakah perbezaan itu. Kita harus ketengahkan apa yang unik tentang masyarakat kita yang perlu kita teliti.

“Di era globalisasi ini, kita semua ada takrifan masing-masing tentang liberalisme, dan ini harus ditangani,” katanya.

Forum berkenaan turut menampilkan dua lagi panelis, iaitu Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad dan Shahrul Aman dari Bersih 2.0 yang bersetuju rakyat Malaysia perlu kesedaran yang lebih tentang liberalisme.– 28 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen