NAMPAKNYA kita sedang berada dalam landasan yang betul selepas lawatan Utusan Khas yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin ke China, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.
“Sama ada beliau berjaya atau tidak itu cerita lain tetapi beliau sudah cuba yang terbaik. Dan perkara sedang bergerak dalam landasan yang betul,” katanya selepas ceramah di Taman Sri Andalas, Klang malam tadi.
Saifuddin menekankan yang Malaysia komited untuk menghormati komitmennya dan mahu mengekalkan hubungan baik dengan China.
“Ya, kita ada isu (masalah) dan kawan kita di Beijing pun faham tetapi bila utusan khas dihantar bermakna kita mahu duduk berbincang.
“Perdana menteri kita komited untuk hubungan yang lebih baik dan kerana itulah beliau akan melawat China pada 17 Ogos,” tambahnya.
Apabila ditanya sekiranya Daim sudah memberi taklimat kepada Kementerian Luar, Saifuddin berkata: “Daim sudah diberi taklimat sebelum pergi ke China minggu lepas dan pejabatnya juga sudah memberi taklimat kepada Kementerian Luar.”
Mengenai tugas Daim di China, Saifuddin berkata ia berkaitan dengan “kontrak ditandatangi kerajaan terdahulu.”
Tetapi beliau enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai mandat utusan khas itu kerana Daim melapor terus kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Sejak mengambil alih Putrajaya, kerajaan Pakatan Harapan menemui beberapa percanggahan dalam dua kontrak yang ditandatangani dengan syarikat China.
Pakatan berkata projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan kontrak Paip Gas Trans Sabah yang ditandatangani Barisan Nasional berat sebelah.
Menyentuh pelantikan Daim sebagai envoi khas, Saifuddin berkata ia adalah amalan biasa.
“Menggunakan utusan khas adalah sesuatu yang Malaysia dan negara lain gunakan dalam urusan luar.”
Sebelum Daim, bekas menteri kerja raya S Sammy Vellu juga dilantik sebagai utusan khas ke India, dan bekas menteri perumahan Ong Ka Ting adalah utusan khas ke China selepas mereka bersara daripada kerajaan Barisan Nasional. – 25 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Sofea Zarith · Ulasan