KERAJAAN menggantung projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan dua projek paip gas dan minyak yang kontroversi, yang keseluruhannya berjumlah lebih RM90 bilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Penggantungan kerja dan perkhidmatan oleh dua syarikat milik Kementerian Kewangan itu berkuatkuasa Selasa lepas (3 Julai) melibatkan semua kontrak berkaitan ECRL dan dua projek paip gas dan minyak berkenaan.
Keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendapatkan nasihat Peguam Negara, Tommy Thomas, kata Lim, dalam kenyataan yang mengesahkan laporan media sebelum ini.
Penangguhan ini dikenakan ke atas dua syarikat yang terlibat dengan projek-projek berkenaan iaitu Suria Synergy Energey Resources (SSER) bagi dua projek paip gas dan minyak tersebut, dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd yang mengendalikan projek ECRL.
“Notis penggantungan ini berkuatkuasa serta-merta sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.
“Perlu ditegaskan bahawa tindakan yang diambil adalah semata-mata ke atas syarikat yang berkaitan dengan peruntukan dalam surat perjanjian dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana negara,” katanya kenyataan Lim.
MRL sebelum dilapor memaklumkan kontraktor projek ECRL, China Construction Construction Company (CCCC) untuk menggantung kerja projek landasan keretapi sepanjang 688.3 km dengan alasan kepentingan negara.
Makluman itu dibuat sehari selepas Kementerian Kewangan mengesahkan kos akhir projek ECRL adalah RM81 bilion dan CCCC perlu mengurangkan kos pembinaan dengan ketara untuk menjadikannya berdaya maju dari segi kewangan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking hari ini berkata sebarang keputusan kerajaan berhubung projek ECRL tidak akan menjejaskan kerjasama dagang antara Malaysia dan China.
Projek landasan kereta api dari Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor, Kelantan itu diluluskan Jemaaah Menteri kerajaan Najib Razak, yang bersetuju dengan lantikan sebuah syarikat China, China Communications Construction Company (CCCC) sebagai kontraktor utama.
Ia menelan belanja keseluruhan mencecah RM81 bilion, termasuk kos ambil alih tanah dan faedah pinjaman semasa pembinaan projek.
ECRL jadi antara isu hangat dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas, dengan Pakatan Harapan berjanji membatalkannya kalau jadi kerajaan, atas beberapa alasan termasuk bukan keperluan dan kos yang keterlaluan.
Selepas Pakatan Harapan jadi kerajaan di Putrajaya, ia membongkar pula satu lagi skandal kewangan Kementerian Kewangan yang menterinya ketika itu juga ialah Najib.
Dua projek paip gas dan minyak kendalian SSER itu ialah Multi Product Pipeline (MPP) antara Jitra di Kedah sampai ke Port Dickson di Negeri Sembilan, dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP), antara Terminal Gas Kimanis dengan Sandakan dan Tawau.
MPP bernilai RM5.35 bilion manakala TSGP bernilai RM4.06 bilion, keseluruhannya RM9.41 bilion.
Projek yang diklasifikasikan sebagai “fail merah” oleh pentadbiran Najib ini bermasalah kerana SSER membuat bayaran mengikut masa dan bukan kemajuan projek.
Sehingga Mac 2018, sebelum PRU14, anak syarikat Kementerian Kewangan itu sudah membayar syarikat pemaju dari China sebanyak RM8.3 bilion atau 88% darkpada keseluruhan kos projek. Projek itu baru siap pada tahap 13%, sebelum diaudit.
“Kontrak-kontrak SSER bernilai RM9.4 bilion ini belum lagi mengambil kira kos perjanjian pengambilalihan tanah, dua perjanjian perundingan pakar, dan satu perjanjian penyelenggaraan yang bernilai RM1.7 bilion,” kata Lim.– 5 Julai, 2018.
Komen